Categories
NASIONAL

Remaja parah ditetak tegur pasang muzik kuat

JOHOR BAHRU, 20 OKT: Seorang remaja lelaki cedera parah di bahagian belakang dan kepala ekoran ditetak, gara-gara menegur dua lelaki yang memasang muzik dengan kuat daripada pembesar suara kereta di Flat Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, dekat Pasir Gudang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian pada jam 2.05 pagi itu berlaku apabila mangsa berusia 17 tahun diserang kira-kira 15 lelaki, di kawasan perumahan itu.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menegur dan menasihati dua daripada suspek kerana memasang muzik dengan kuat, di kawasan flat terbabit.

“Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil sebelum sekumpulan suspek lain iaitu rakan kepada dua suspek yang awal, datang menaiki sebuah kereta dan beberapa motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, sekumpulan lelaki itu kemudiannya mengerumuni mangsa dengan beberapa suspek membawa parang dan pisau serta menyerang mangsa hingga mengakibatkan kecederaan parah di bahagian belakang badan dan kepala mangsa.

“Kesemua suspek dipercayai bukan penghuni di kawasan flat terbabit,” katanya.

Jokhiri berkata, mangsa yang cedera parah kemudiannya dihantar dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini dan kini berada di bawah pengawasan rapi pihak hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan senjata) dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah dengan senjata).

Beliau berkata, sehingga kini belum ada tangkapan dibuat dan pihak polis sedang giat memburu suspek terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA