Categories
SUKANKINI

Ranking FIFA bola sepak Malaysia merudum ke-170

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 OKT: Ranking FIFA skuad bola sepak Malaysia terus merudum empat anak tangga pada kedudukan 170 berbanding 166 bagi Oktober 2017 yang dikeluarkan hari ini.

Kedudukan antara terburuk itu menyamai pencapaian di kedudukan 170 pada 2015 yang ketika itu menyaksikan Harimau Malaya hanya mencatatkan dua kemenangan daripada 11 perlawanan sepanjang tahun.

Pada ranking 170, Malaysia berkongsi 110 mata bersama Cambodia manakala ST. Vincent And The Grenadines di tangga 172 dengan 104 mata.

Sejak Januari sehingga Oktober, Malaysia sudah mengharungi enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan dengan rekod empat kekalahan dan dua keputusan seri.

Dalam perkembangan sama, Juara Piala Dunia 2014, Jerman mengekalkan kedudukan selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,631 mata diikuti Brazil (1,619) dan Juara Eropah 2016, Portugal (1,446).

Diperingkat negara ASEAN, Filipina menduduki tangga 116, Vietnam (121), Thailand (138), Myanmar (155), Laos (162), Indonesia (165), Singapura (173), Brunei (185), Timur Leste (192).

=EZY=