Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir tahniah Soh Chin Ann diiktiraf Fifa

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Ann yang dinobatkan sebagai pemain paling banyak mewakili skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan yang sama, terhadap bekas pertahanan skuad kebangsaan itu yang disenaraikan dalam ‘Fifa Century Club’ sebagai pemilik ‘caps’ antarabangsa terbanyak FIFA dengan 195 ‘caps’.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini memaklumkan, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau menduduki tempat pertama, sekali gus melakarkan sejarah serta mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka berdua juga menyifatkan pencapaian Chin Ann ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia. Tahniah dan syabas,” menurut hantaran itu.

Fifa Century Club adalah eksklusif untuk pemain yang telah bermain sekurang-kurangnya 100 perlawanan antarabangsa.

Chin Ann yang mewakili pasukan kebangsaan dari 1969 hingga 1984, merupakan antara empat legenda kebangsaan termasuk Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh, yang disenaraikan Fifa dalam kemas kini terbaharu pada 3 Ogos lepas.

Jumlah penampilan Chin Ann mengatasi rekod Ahmed Hassan dari Mesir yang mengumpul 184 penampilan, Bader Al Mutawa dari Kuwait (181) dan Ahmed Mubarak dari Oman (180).

Antara legenda bola sepak antarabangsa dalam senarai 10 terbaik ialah Sergio Ramos dari Sepanyol (180, tempat kelima), Cristiano Ronaldo dari Portugal (179, keenam) dan Gianluigi Buffon dari Itali (176, kesembilan).

Hantaran tersebut turut memaklumkan antara legenda bola sepak tanah air yang turut tersenarai ialah Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan mendiang Datuk R. Arumugam (131).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan bola sepak digesa peka isu bayaran gaji

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Bantuan dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah US$456,214.48 (kira-kira RM1.88 juta) kepada pemain tempatan kurang bernasib baik perlu dilihat secara serius bagi mengatasi masalah pengurusan pasukan dan kelab di negara ini.

Walaupun ia perkembangan menggembirakan, namun Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail menyifatkan perkara itu menandakan masih terdapat tugas besar perlu dilaksanakan pasukan dalam meningkatkan kualiti pengurusan.

Beliau berkata ia juga menjadi isyarat kepada setiap pihak supaya lebih peka terhadap isu hak dan kebajikan pemain khususnya bayaran gaji, selain usaha lebih giat perlu dibuat dari sudut pemerkasaan tadbir urus pasukan, sistem pelesenan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Ia bagi memastikan ekosistem bola sepak Malaysia berada dalam keadaan stabil sekali gus memastikan kelestarian yang berpanjangan buat mereka terlibat secara aktif dalam arena bola sepak negara.

“…dan tanggungjawab ini harus didukung semua pemegang taruh bola sepak negara secara kolektif, bukan disandarkan kepada pihak tertentu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan seramai 147 pemain tempatan daripada lima pasukan di negara ini yang ‘gulung tikar’ akan menerima bantuan antara US$1,227.67 (kira-kira RM5,000) hingga US$9,227.67 (kira-kira RM38,000) selepas permohonan mereka diluluskan FIFA.

Lima pasukan tersebut adalah Terengganu City FC, Perlis, Marcerra United FC, Kuantan FA serta Hanelang FC dan kesemua pasukan itu kini sudah ditutup.

Sementara itu, Izham berkata sebanyak 139 daripada keseluruhan 147 permohonan itu dibuat menerusi PFAM dan mengakui dana tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban sedia ada pemain meskipun bantuan diterima bukanlah merupakan jumlah penuh.

Beliau berkata usaha untuk menuntut baki bayaran akan terus dibuat dengan PFAM sentiasa berusaha menggunakan segala saluran undang-undang yang ada bagi tujuan tersebut.

“Bagi pihak yang menjadi punca kepada permasalahan ini, PFAM benar-benar menyeru dan menggesa untuk tampil bersemuka dengan pemain dan seterusnya benar-benar mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini,” kata Izham.

Bantuan dana daripada FIFA itu adalah menerusi program ‘FIFA Fund for Football Players’ (FIFA FFP) yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

147 pemain pasukan ‘gulung tikar’ bakal terima RM1.88 juta dari FIFA

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Seramai 147 pemain daripada lima pasukan di negara ini yang ‘gulung tikar’ bakal menerima bantuan antara US$1,227.67 (kira-kira RM5,000) hingga US$9,227.67 (kira-kira RM38,000) daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam dalam kenyataan hari ini, berkata sejumlah US$456,214.48 (lebih kurang RM1.88 juta) diluluskan untuk pemain dari lima pasukan di Malaysia bagi fasa pertama yang membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.

Beliau berkata jumlah itu merupakan 2.85 peratus daripada jumlah keseluruhan dana US$16 juta (RM66 juta) disediakan FIFA kepada pemain di seluruh dunia bagi empat fasa sehingga penghujung 2022.

Menurut Stuart, FIFA menerusi program ‘FIFA Fund for Football Players’ (FIFA FFP) yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro), menerima permohonan daripada lebih 1,000 pemain seluruh dunia membabitkan 109 kelab dari 36 negara anggotanya.

Beliau berkata permohonan dibuat menerusi Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Unit Undang-undang FAM, yang menyerahkan keputusan kes tunggakan gaji daripada Jawatankuasa Status FAM dan termasuk juga kes yang telah diputuskan oleh FIFA.

“FAM turut memberikan pengesahan status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi. FAM berterima kasih kepada FIFA dan FIFPro kerana menerusi wang dana diberikan ini, ia telah membantu pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal diselesaikan pasukan-pasukan yang ditutup.

“Begitu juga kepada PFAM yang telah memainkan peranan utama dalam merealisasikan agenda ini bagi membolehkan pemain-pemain akhirnya akan dapat menerima sebahagian wang tunggakan tersebut,” katanya.

Stuart bagaimanapun, menegaskan bahawa penerimaan dana berkenaan bukanlah bermaksud kes tunggakan gaji melibatkan pemain tersebut selesai kerana dana diterima hanyalah sebahagian dan masih terdapat baki tunggakan perlu diselesaikan.

“Oleh itu, FAM menyeru pihak yang bertanggungjawab untuk tampil dan menyelesaikan baki tunggakan tersebut. Pada ketika ini, PFAM sedang mengemas kini fakta kelulusan daripada FIFA dan FIFPro dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau menjelaskan FIFA akan mengkreditkan wang dana berkenaan ke akaun pemain yang terlibat dalam kadar segera sebaik menerima maklumat akaun bank pemain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga-M: FIFA lulus lanjutkan tempoh daftar pemain akibat pandemik

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menerima ‘masa tambahan’ dalam mempersiapkan pasukan menghadapi musim 2021 apabila tempoh pendaftaran pertama pemain dilanjutkan sehingga 19 Feb ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata lanjutan itu diluluskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam, selepas menerima permohonan rasmi badan pengelola Liga-M itu yang dibuat melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Katanya, keputusan melanjutkan tempoh pendaftaran itu disebabkan beberapa kekangan dalam tempoh Covid-19 dihadapi pasukan terutama melibatkan pendaftaran pemain import.

“Ini merupakan perkembangan amat baik bagi pasukan atau kelab yang terlibat dalam Liga-M kerana mereka mempunyai masa seminggu lagi untuk memastikan pemain benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran musim ini,” katanya dalam kenyataan MFL hari ini.

Ab Ghani berharap pasukan menggunakan tempoh lanjutan itu sebaik mungkin memandangkan selepas ini tiada lagi tempoh lanjutan boleh diberikan FIFA.

MFL sebelum ini memutuskan tempoh pendaftaran pertama Liga-M akan bermula pada 21 Jan sehingga 12 Feb.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata perkembangan itu memberikan suntikan semangat buat pasukan yang bakal memulakan latihan berpasukan pada Isnin ini susulan kebenaran diberikan kerajaan.

“Maka semua pasukan harus memastikan agar semua pemain dan pegawai terlibat mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dalam Liga-M,” katanya.

Kempen saingan Liga-M 2021 dijadual bermula 5 Mac depan dengan perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara juara bertahan dan juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, menjadi aksi pembuka tirai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

AFC umum tarikh baharu Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) malam tadi mengumumkan tarikh baharu Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada Mac dan Jun sebelum digantung susulan pandemik Covid-19.

Selepas berbincang dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), AFC dalam kenyataannya berkata baki perlawanan bagi pusingan kedua kelayakan bersama ini dijadualkan pada Oktober dan November.

AFC berkata hari perlawanan 7 dan 8 masing-masing akan diadakan pada 8 dan 13 Oktober, manakala hari perlawanan 9 dan 10 dijadualkan pada 12 dan 17 November bagi memastikan pusingan kedua kelayakan bersama itu selesai pada November ini.

Ini bagi memastikan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 (Asia) dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia China 2023 dimulakan pada Mac 2021, tarikh perlawanan yang ditetapkan dalam Kalendar Antarabangsa FIFA.

“AFC akan terus memantau rapat situasi ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pasukan, pegawai, peminat dan pemegang taruh selain akan memaklumkan semua pihak jika ada keperluan semakan semula jadual perlawanan susulan kesan pandemik Covid-19,” kata AFC.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe akan menyambung semula semula aksi kelayakan dalam Kumpulan G menentang Emiriah Arab Bersatu di Abu Dhabi pada 8 Oktober, sebelum bertemu Vietnam lima hari kemudian dan menamatkan kempen dengan menentang Thailand di Bangkok pada 17 Nov.

Malaysia berada di tempat kedua dengan sembilan mata, mengekori pendahulu kumpulan, Vietnam yang mengutip 11 mata, Thailand di tempat ketiga dengan lapan mata, UAE (6 mata) dengan kelebihan satu perlawanan dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: FAM minta akur saranan FIFA

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta semua pihak berkepentingan akur dengan garis panduandikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam menangani impak ekonomi terhadap industri bola sepak susulan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam percaya garis panduan FIFA itu mampu meleraikan kekusutan dihadapi pihak berkepentingan terutama melibatkan faktor kewangan.

“Untukpasukan yang mahu mengadakan perbincangan (bersama pemain dan pegawai), mereka boleh berbuat demikian tanpa ragu-ragu memandangkan ia sudah termaktub dalam garis panduan FIFA.

“Kami menggesa semua pasukan memahami langkah digariskan FIFA dalam memastikan keputusan diambil secara bersama dengan pemain dan pegawai dilakukan secara profesional dan telus,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan badan induk bola sepak negara.

Pada Selasa, FIFA mengeluarkan pekeliling bertajuk Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak FIFA COVID-19 yang mengandungi empat perkara utama, antaranya mengenai Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan dan Tempoh Pendaftaran melibatkan jendela perpindahan pemain.

Di bawah Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan, FIFA mengeluarkan prinsip bimbingan yang menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan dalam mencari kata sepakat sepanjang krisis ini, termasuk cadangan penstrukturan penggajian sementara.

Justeru, FAM berharap kesemua pemain, pegawai 14 ahli gabungan FAM dan 24 rakan kongsi MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dapat mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan itu, perjanjian bersama antara pasukan dan pemain serta pegawai perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya 22 April depan, namun perkara ini boleh dirujuk kepada FAM untuk tindakan susulan sekiranya perjanjian bersama gagal dicapai sehingga tarikh tersebut.

Sementara itu, Stuart tidak menolak kemungkinan situasi semasa juga menuntut FAM mengambil tindakan di luar kebiasaan dengan mengambil kira kemungkinan PKP yang dijadual berakhir 14 April ini, dilanjutkan.

”FAM sudah tentu mahu mengelak keadaan di mana pemain dan jurulatih terus dibayar gaji mengikut terma-terma sedia ada tetapi majikan mereka berdepan kekangan kewangan yang memungkinkan mereka ‘lingkup’ dalam jangka pendek dan sekali gus mengakibatkan kehilangan pekerjaan bagi banyak pihak,” katanya.

Stuart menegaskan keputusan FAM sebagai badan induk tidak harus disalah tafsirkan kerana kebajikan pemain dan pegawai tetap menjadi keutamaan dalam apa keadaan sekalipun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FIFA, AFC tangguh perlawanan kelayakan Piala Dunia rantau Asia

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Susulan rundingan bersama ahli persatuan dari Asia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersetuju menangguhkan perlawanan pasukan dari Asia untuk kelayakan ke Piala Dunia FIFA Qatar 2022 ekoran penularan wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan, FIFA berkata penangguhan tarikh perlawanan meliputi perlawanan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada kalendar perlawanan antarabangsa dari 23 hingga 31 Mac dan dari 1 hingga 9 Jun, 2020.

“Bagaimanapun untuk memberi sokongan kepada ahli persatuan yang prihatin dan memastikan keselamatan semua individu terlibat memenuhi standard diperlukan dan ahli persatuan yang akan berhadapan satu sama lain, secara bersama bersetuju perlawanan masih boleh dilangsungkan semasa kalendar perlawanan antarabangsa pada Mac atau Jun 2020, tetapi tertakluk kepada persetujuan awal daripada, FIFA dan AFC,” kata kenyataan itu.

FIFA dan AFC juga bersetuju untuk menangguhkan Kejohanan Futsal AFC 2020 di Turkmenistan, yang merupakan penentu kelayakan bagi Piala Dunia Futsal 2020 di Lithuania sehingga 5 ke 16 Ogos tahun ini.

Menurut kenyataan itu perlawanan kelayakan Kejohanan Bola Sepak Olimpik yang bakal menjelang dilihat akan berlangsung seperti dijadualkan, kecuali perlawanan play-off kelayakan Olimpik wanita antara Korea Selatan dengan China yang akan berlangsung dalam kalendar perlawanan antarabangsa dari 1 hingga 10 Jun.

“FIFA dan AFC akan terus menilai keadaan mengikut perkembangan semasa Covid-19 dan akan memutuskan sama ada perlu lagi membuat perubahan ke atas jadual perlawanan kelayakan pasukan Asia bagi Piala Dunia FIFA 2022, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan semua individu terlibat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Covid-19: FIFA kaji tangguh pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Asia

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedang mengkaji langkah menangguhkan pusingan kedua kempen Kelayakan Bersama Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia.

FIFA dalam satu kenyataan semalam memaklumkan kesejahteraan dan kesihatan semua individu yang terlibat dalam perlawanan bola sepak kekal menjadi keutamaan tertinggi.

“Oleh itu, satu cadangan rasmi untuk menangguhkan perlawanan akan datang dalam kelayakan Piala Dunia FIFA Asia 2022 dan Piala Asia AFC 2023 akan dikongsi dengan anggota persatuan yang relevan,” katanya.

FIFA dan AFC akan menyediakan kemas kini berhubung jadual perlawanan pada masa akan datang susulan perundingan yang dilakukan dengan persatuan yang menganggotai AFC, menurut kenyataan itu.

Harimau Malaya di bawah bimbingan ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe akan beraksi menentang Emiriah Arab Bersatu di Dubai pada 26 Mac sebelum menjadi tuan rumah kepada Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac dalam kelayakan Kumpulan G.

Sementara itu, FIFA akan terus memantau situasi berkaitan Covid-19 dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia, konfederasi dan anggota persatuan, menurut kenyataan tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM jumpa AFC untuk hantar laporan ke FIFA

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah berjumpa dengan wakil daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sebagai langkah pertama dalam membawa isu kekecohan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta ke Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ia ekoran insiden tindakan kurang sopan penyokong tuan rumah yang membaling batu dan melakukan kekecohan pada aksi Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Indonesia dan Malaysia, sehingga menyebabkan tiga penyokong Malaysia cedera.

Skuad Harimau Malaya yang dua kali bangkit menewaskan skuad Garuda 3-2 pada perlawanan itu, terpaksa pulang ke hotel penginapan menaiki kereta kebal barracuda angkara penyokong yang tidak puas dengan keputusan berkenaan.

FAM yang diwakili Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam dan Ketua Unit Perundangan FAM, Shahida Bashirah Hishamuddin sudah bertemu wakil AFC di ibu pejabat badan pentadbir bola sepak Asia itu di AFC House, Bukit Jalil, semalam.

Menurut catatan di Facebook FAM, pihak AFC juga mengesahkan laporan oleh Pegawai Komisioner Perlawanan FIFA dan Pegawai Keselamatan FIFA perlawanan terbabit sudah dihantar ke FIFA untuk penilaian dan tindakan mereka.

Perkara itu disahkan Ketua Keselamatan dan Sekuriti Stadium AFC, Brian Johnson, Pengurus Keselamatan dan Sekuriti Stadia, Shahin Rahmani dan Pengurus Acara Bola Sepak Unit Pertandingan dan Bahagian Acara Bola Sepak, Deng Xiaolong, kata FAM.

“Seterusnya, FAM turut mendapatkan nasihat daripada AFC untuk membantu menyediakan pelan keselamatan yang komprehensif menjelang pertemuan kedua antara Malaysia dan Indonesia pada 19 November ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk mengelakkan insiden pada 5 September berulang,” kata FAM.

Stuart juga bertemu dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John dalam pertemuan berasingan semalam untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap insiden yang berlaku.

Skuad Harimau Malaya, di bawah kendalian Tan Cheng Hoe akan meneruskan kempen kelayakan itu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional pada Selasa ini.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Harimau Malaya kini di ranking ke-167 FIFA

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Skuad bola sepak negara atau lebih dikenali sebagai Harimau Malaya terus memperbaiki kedudukan mereka dalam ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila naik dua anak tangga ke kedudukan ke-167 bagi bulan November.

FIFA menerusi kemaskini kedudukan ranking dalam laman sesawangnya;www.fifa.com hari ini, memaklumkan Malaysia mengumpul 984 mata untuk berada dalam kelompok negara seperti Indonesia (160), Nepal (162), Singapura (165) dan Kemboja (172).

Peningkatan tersebut disebabkan kejayaan skuad Harimau Malaya yang mencatat beberapa kemenangan dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan ini.

Kedudukan terbaru itu bagaimanapun tidak mengubah nasib Malaysia yang masih ketinggalan jauh dari negara Asia Tenggara yang lain seperti Vietnam di kedudukan ke-100, Filipina (114), Thailand (118) dan Myanmar yang berada pada kedudukan ke-139 dunia.

Juara tiga kali Piala Asia, Iran, kekal unggul selaku pasukan terbaik Asia selepas naik satu anak tangga ke tangga ke-29, diikuti Australia (41), Jepun (50) dan Korea Selatan yang berada pada kedudukan ke-53 di kalangan 46 negara Asia yang tersenarai dalam ranking FIFA.

Naib juara Piala Eropah 1980, Belgium mengekalkan kedudukannya sebagai pasukan nombor satu dunia dengan 1,727 mata, manakala juara Piala Dunia 2018, Perancis menduduki tangga kedua selepas ketinggalan satu mata di belakang Belgium.

Juara Piala Dunia lima kali, Brazil pula kekal pada tangga ketiga selepas mengumpul 1,676 mata.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

Imran, Lauren wakili Malaysia ke F4F 2018 di Rusia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 3 APR: Malaysia bakal menyertai Projek Sosial Kanak-Kanak Antarabangsa ‘Football For Friendship’ (F4F) buat kali pertama di Moscow, Rusia bersempena Piala Dunia FIFA 2018 dari 8 hingga 15 Jun depan.

Menerusi program itu Malaysia bakal diwakili dua pemain bola sepak muda, Imran Zakaria, 16 dan Lauren Chow, 12.

Dalam kenyataannya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, kedua-dua pemain akan menyertai program itu dengan peranan masing-masing.

“Di Rusia nanti, Imran akan berperanan sebagai ‘jurulatih muda’ bagi melatih salah satu daripada 32 pasukan campuran yang dibentuk di kalangan pemain-pemain berusia 12 tahun dari seluruh dunia.

“Manakala Lauren pula bertindak sebagai ‘wartawan muda’ bagi membuat liputan sepanjang program berkenaan,” katanya.

Satu pertemuan antara Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Imran dan Lauren serta keluarga masing-masing diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini, bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung program berkenaan dan persiapan bakal diatur.

Memasuki edisi keenam dan ini adalah kali pertama Malaysia dijemput bagi menghantar wakil ke program F4F itu.

Menariknya, kedua-dua Imran dan Lauren akan berpeluang terbabit dalam upacara perasmian Piala Dunia FIFA 2018 dan menyaksikan perlawanan sulung antara Russia dan Arab Saudi di Stadium Luzhniki pada 14 Jun nanti.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Ranking FIFA bola sepak Malaysia merudum ke-170

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 OKT: Ranking FIFA skuad bola sepak Malaysia terus merudum empat anak tangga pada kedudukan 170 berbanding 166 bagi Oktober 2017 yang dikeluarkan hari ini.

Kedudukan antara terburuk itu menyamai pencapaian di kedudukan 170 pada 2015 yang ketika itu menyaksikan Harimau Malaya hanya mencatatkan dua kemenangan daripada 11 perlawanan sepanjang tahun.

Pada ranking 170, Malaysia berkongsi 110 mata bersama Cambodia manakala ST. Vincent And The Grenadines di tangga 172 dengan 104 mata.

Sejak Januari sehingga Oktober, Malaysia sudah mengharungi enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan dengan rekod empat kekalahan dan dua keputusan seri.

Dalam perkembangan sama, Juara Piala Dunia 2014, Jerman mengekalkan kedudukan selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,631 mata diikuti Brazil (1,619) dan Juara Eropah 2016, Portugal (1,446).

Diperingkat negara ASEAN, Filipina menduduki tangga 116, Vietnam (121), Thailand (138), Myanmar (155), Laos (162), Indonesia (165), Singapura (173), Brunei (185), Timur Leste (192).

=EZY=