Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu guna parang halang AADK tangkap dua anak

IPOH, 29 MAC: Seorang ibu sanggup menunggu di depan pintu rumah sambil memegang parang bagi menghalang pasukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan dua anaknya yang dipercayai terlibat dengan penagihan dadah di rumahnya di Batu Kurau, kira-kira 100 kilometer dari sini, semalam.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Negeri Perak A Reuben berkata kedua-dua anaknya yang berusia 18 dan 20 tahun itu bertindak menyembunyikan diri di dalam rumah selain cuba memanjat bumbung rumah untuk melarikan diri namun kemudiannya berjaya ditahan.

“Kami mengambil masa selama 30 minit untuk memujuk ibu berusia 60-an untuk memberi kerjasama untuk AADK membuat pemeriksaan dalam rumah.

“Sewaktu kejadian ini, rumah tersebut dikepung dan kami terdengar bunyi orang memanjat bumbung yang merupakan dua lelaki tersebut. Mereka akhirnya menyerah diri selepas berjaya dipujuk,“ katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang bekalan dadah namun saringan awal air kencing ke atas dua beradik itu mendapati mereka positif dadah.

Katanya, dua beradik itu antara 36 warga tempatan berusia 16 hingga 56 tahun termasuk seorang pengedar dadah yang ditahan dalam Op Perdana bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah Larut Matang Dan Selama selama dua hari sehingga semalam.

Reuben berkata dalam tempoh itu juga, AADK merampas 55.29 gram dadah jenis morfin yang keseluruhannya bernilai antara RM800 hingga RM1,000 mengikut harga pasaran gelap.

“Semua tangkapan yang positif ujian saringan awal air kencing akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998, manakala suspek yang didapati memiliki dadah telah diserahkan pada pihak polis dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Remaja parah ditetak tegur pasang muzik kuat

JOHOR BAHRU, 20 OKT: Seorang remaja lelaki cedera parah di bahagian belakang dan kepala ekoran ditetak, gara-gara menegur dua lelaki yang memasang muzik dengan kuat daripada pembesar suara kereta di Flat Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, dekat Pasir Gudang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian pada jam 2.05 pagi itu berlaku apabila mangsa berusia 17 tahun diserang kira-kira 15 lelaki, di kawasan perumahan itu.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menegur dan menasihati dua daripada suspek kerana memasang muzik dengan kuat, di kawasan flat terbabit.

“Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil sebelum sekumpulan suspek lain iaitu rakan kepada dua suspek yang awal, datang menaiki sebuah kereta dan beberapa motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, sekumpulan lelaki itu kemudiannya mengerumuni mangsa dengan beberapa suspek membawa parang dan pisau serta menyerang mangsa hingga mengakibatkan kecederaan parah di bahagian belakang badan dan kepala mangsa.

“Kesemua suspek dipercayai bukan penghuni di kawasan flat terbabit,” katanya.

Jokhiri berkata, mangsa yang cedera parah kemudiannya dihantar dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini dan kini berada di bawah pengawasan rapi pihak hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan senjata) dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah dengan senjata).

Beliau berkata, sehingga kini belum ada tangkapan dibuat dan pihak polis sedang giat memburu suspek terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dakwaan senjata dalam longkang, modus operandi ‘basi’ salahkan perhimpunan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 1 JAN: Dakwaan polis menemui parang dan pisau dalam longkang berhampiran Kompleks Daya Bumi merupakan satu modus operandi ‘basi’ yang sudah kerap kali digunakan.

Ia untuk memberi persepsi buruk sekaligus bertujuan menguatkan tohmahan perhimpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) malam tadi bertujuan untuk menggulingkan kerajaan.

parangPengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan, berkata modus operandi sama juga pernah digunakan ketika kerajaan menghadapi beberapa siri kebangkitan rakyat khususnya dalam perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebelum ini.

“Masa perhimpunan Bersih 2.0 dahulu juga sama, kononnya ada jumpa molotov cocktail (bom petrol) yang diperbuat dari botol plastik, senjata tajam dan baju tertera logo Bersih 2.0 tetapi sehingga sekarang polis senyap dalam isu itu. Apa hasil siasatan mereka?

“Lagi pun malam tadi bolehkan menggulingkan kerajaan hanya dengan menggunakan parang dan pisau sedangkan pihak berkuasa memiliki anggota dan kelengkapan secukupnya? Ini tak masuk akal,” kata Edy Noor ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

sammPada April 2011, sebelum Perhimpunan BERSIH 2.0 berlangsung pihak polis mendakwa menemui molotov cocktail yang diperbuat dari botol plastik, senjata tajam dan baju tertera logo Bersih 2.0 di satu lokasi yang kurang tersorok di Jalan Tunku Abd Rahman Kuala Lumpur.

Menurut polis kononya terdapat saksi yang melihat lelaki bertopeng membuangkan beg plastik berhampiran pasu bunga di lokasi terbabit.

Laporan itu bagaimanapun dipertikaikan masyarakat umum kerana dianggap melucukan umpama Pak Pandir yang menaman wang rompakan di satu lokasi dan meletakkan papan tanda ‘tiada duit ditanam di sini’ di atasnya.

EZY