Categories
AGENDA NASIONAL

Selepas tetak ibu tiri hingga terputus leher, penagih buat laporan polis

GUA MUSANG, 16 FEB: Seorang wanita maut selepas lehernya ditetak hingga putus oleh anak tirinya di rumahnya di Kampung Batu Machang dekat Jerek, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata suspek iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun kemudian hadir ke Balai Polis Bertam di sini pada 4.45 petang dengan memaklumkan telah membunuh ibu tirinya berusia 54 tahun menggunakan parang.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar 4 petang dan siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah dan mengalami masalah mental.

“Ketika kejadian hanya suspek dan mangsa berada di rumah tersebut.

“Siasatan polis di tempat kejadian berjaya menemukan senjata yang dipercayai digunakan iaitu sebilah parang. Siasatan mendapati mangsa maut selepas lehernya putus akibat tetakan tersebut dan siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Sik berkata mayat wanita itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 451 Kanun Keseksaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Kes bunuh: Suspek utama antara tiga ditahan – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Seorang suspek utama antara tiga ditahan disyaki terlibat dalam kes samun dan bunuh pesara kerajaan dalam kejadian di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini, pada Ahad lepas (29 November).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua mereka ditahan menerusi tiga tangkapan di Jalan Genting Klang serta Jalan Air Panas di sini, dan Jalan Rinching, Semenyih, pada awal pagi tadi.

Beliau berkata dua lelaki ditahan pada 3.30 pagi serta 4.30 pagi, dan susulan tangkapan itu membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki berumur 23 tahun dipercayai suspek utama kes tetak berkenaan dan dia ditahan dalam serbuan di Semenyih pada 5 pagi tadi.

“Hasil siasatan lanjut, polis berjaya mendapatkan pengakuan daripada suspek. Polis percaya pengakuan dibuat suspek utama iaitu yang ditangkap di Semenyih ialah individu yang menetak mangsa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih mengesan seorang lagi suspek lelaki dikenali sebagai T. Sugu, 27, yang disyaki turut terbabit dalam kejadian tersebut.

Berikutan tangkapan terbaru itu, beliau berkata polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut hari ini.

“Sepuluh individu yang ditahan sebelum ini, pula telah dilanjutkan reman tujuh hari hingga 6 Disember depan,” katanya.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan sehingga kini seramai 13 orang.

Semalam, media melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin memaklumkan seramai 10 individu berumur antara 20 dan 29 tahun disyaki terbabit dalam kejadian samun dan tetak bekas pesara kerajaan itu, ditahan sejak hari kejadian.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, yang merupakan bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan akibat ditetak.

Mangsa dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Remaja parah ditetak tegur pasang muzik kuat

JOHOR BAHRU, 20 OKT: Seorang remaja lelaki cedera parah di bahagian belakang dan kepala ekoran ditetak, gara-gara menegur dua lelaki yang memasang muzik dengan kuat daripada pembesar suara kereta di Flat Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, dekat Pasir Gudang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian pada jam 2.05 pagi itu berlaku apabila mangsa berusia 17 tahun diserang kira-kira 15 lelaki, di kawasan perumahan itu.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menegur dan menasihati dua daripada suspek kerana memasang muzik dengan kuat, di kawasan flat terbabit.

“Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil sebelum sekumpulan suspek lain iaitu rakan kepada dua suspek yang awal, datang menaiki sebuah kereta dan beberapa motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, sekumpulan lelaki itu kemudiannya mengerumuni mangsa dengan beberapa suspek membawa parang dan pisau serta menyerang mangsa hingga mengakibatkan kecederaan parah di bahagian belakang badan dan kepala mangsa.

“Kesemua suspek dipercayai bukan penghuni di kawasan flat terbabit,” katanya.

Jokhiri berkata, mangsa yang cedera parah kemudiannya dihantar dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini dan kini berada di bawah pengawasan rapi pihak hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan senjata) dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah dengan senjata).

Beliau berkata, sehingga kini belum ada tangkapan dibuat dan pihak polis sedang giat memburu suspek terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA