Categories
NASIONAL

Revolusi SPRM bagus, tapi sukar selagi BN berkuasa

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 OKT: PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk turut bersama menekan Kerajaan Persekuuan supaya mempercepatkan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menyokong revolusi yang ingin dicapai SPRM tetapi mendakwa ia nampak sukar selagi Barisan Nasional (BN) berkuasa.

“Semestinya akta ini akan dapat membantu SPRM untuk mencapai revolusinya.

“Tapi selagi BN berkuasa, segala-galanya susah bagi SPRM untuk bergerak bebas seperti yang sewajarnya.

“Cadangan bagus, PAS akan menyokong usaha SPRM. Tapi BN sebagai batu penghalang besar perlu dibuang dahulu,” katanya.

Menurutnya, PAS mengalu-alukan kenyataan ‘revolusi’ Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM, Hasbillah Mohd Salleh untuk menjadikan gejala rasuah sebagai musuh nombor satu negara.

Tuan Ibrahim berkata, sumber kekeliruan sebenar rakyat terhadap rasuah adalah hasil daripada campurtangan kerajaan BN di dalam SPRM selama ini.

“Contoh yang paling menonjol ialah di tengah ribut kemelut derma RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC International, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 17 November 2015 berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) boleh melakukan sumbangan kepada ahli politik atau parti politik sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat.

“Dan perkara ini boleh dibuat tanpa sebarang akta yang mengawalnya. Persoalannya, di mana garisnya antara suapan dan derma?

“Apakah menerima hadiah, asalkan ia dinamakan dalam bentuk derma, daripada individu dan golongan tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri, dibolehkan?” soalnya.

Sebelum ini, Hasbillah dilaporkan berkata, kebanyakan masyarakat masih keliru dengan tafsiran menerima hadiah daripada individu atau golongan tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri.