Categories
SELANGOR

RM2.6 bilion di Selangor untuk seluruh rakyat, bukan ‘makan seorang’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Sehingga 31 Julai 2017, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM2.6 bilion yang diagihkan kepada seluruh rakyat negeri itu yang menyertai 47 skim di dalam program Inisitif Peduli Rakyat (IPR).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, isu membolot RM2.6 bilion untuk diri sendiri sama sekali tidak berlaku di Selangor.

“Kalau kita lihat ada 47 program IPR di mana sehingga 31 Julai 2017 lebih RM2.6 bilion dibelanjakan Kerajaan Negeri untuk rakyat seluruh Selangor yang memerlukan di mana RM2.6 bilion itu bukan hanya untuk seorang tetapi untuk seluruh rakyat negeri Selangor.

“Ini adalah jumlah yang cukup besar tetapi saya dapati misalnya dalam program Perkahwinan Perdana di mana ada lagi pasangan yang tidak tahu inisiatif perkahwinan untuk belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Katanya, Kerajaan Negeri terus berusaha menyampaikan maklumat mengenai inisiatif ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat khususnya di desa-desa termasuk melalui program Karnival Kampungku Kesayangan (3K).

Katanya, sebelum ini beliau mendapati sebahagian masyarakat di luar bandar masih tidak menyertai program IPR ekoran kurang mendapat maklumat berhubung skim itu.

=EZY=