Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Penerima Anugerah: Motivasi terbaik lakar kejayaan

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 22 OKT: Muhammad Haneef Zuleffendi, 26, menyifatkan kejayaan meraih Anugerah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, adalah motivasi terbaik untuk dirinya terus gigih mencipta kejayaan pada masa depan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Perbankan) dari Klang diumumkan menerima anugerah itu serta insentif RM10,000 disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam Majlis Konvokesyen ke 20 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di sini, semalam.

Beliau berkata, kejayaan diraihnya itu amat menggembirakan selepas berusaha gigih di sepanjang mengikuti pengajian di kolej berkenaan.

“Sangat gembira di atas pengiktirafan diberikan KUIS terhadap kejayaan dicapai dan harapan semoga KUIS serta Kerajaan Negeri terus memajukan sektor pendidikan kerana ia penting untuk penbangunan modal insan berkualiti,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Haneef menjelaskan, rahsia kejayaannya ialah beliau sentiasa berusaha tanpa jemu dan menetapkan matlamat jelas apa ingin dicapainya.

“Sebagai pelajar, saya turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dengan menyertai pertubuhan pelajar dan dari situ saya melihat dapat menyumbang untuk kemajuan bersama dan ia menjadi motivasi kepada saya untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perbankan seterusnya mencapai cita-cita menjadi pensyarah satu hari nanti.

Bagi penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor, Muhammad Azwan Noor Azman, 23, turut berharap ia tidak sekadar terhenti di situ dan memberi motivasi untuknya dan rakan lain terus berusaha mencipta kejayaan selepas ini.

“Harapan saya semoga ia menaikkan semangat kepada saya dan semua rakan untuk terus menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi dan berusaha gigih mencapai kejayaan pada masa depan.

“Terima kasih kepada ibu bapa, guru, pensyarah serta KUIS sendiri yang banyak memberi dorongan sehingga saya berjaya,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Sebagai Bahasa Kedua dari Petaling Jaya itu.

Muhammad Azwan menerima anugerah serta insentif RM8,000 daripada Mohamed Azmin di majlis berkenaan.

=EZY=