Categories
SUKANKINI

Rob FA juara Karnival Soccerkids Shah Alam Edisi Ke-8

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 OKT: Pasukan S. Kids MBSA (A) muncul juara Karnival Soccerkids Shah Alam Edisi Ke-8, bagi kategori bawah 12 tahun selepas menewaskan KB Remaja Puchong, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, kategori bawah 9 tahun pula diungguli pasukan ROB FA yang turut berjaya menundukkan KB Remaja Puchong.

Katanya, setiap kategori disertai 32 pasukan, menjadikan 64 pasukan bertanding bagi karnival soccerkids sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam Ke-17 itu.

“Program ini merupakan platform terbaik kepada peserta mempamerkan kemahiran dan bakat kesukanan dalam bidang bola sepak, sekaligus diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Ia juga memberi peluang kepada pemain muda, persatuan atau kelab bola sepak menonjolkan bakat untuk digilap dan melahirkan pemain pelapis untuk mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya.

Bertempat di Padang B, Dataran Kemerdekaan, majlis perasmiaannya disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

MBSA menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,900 dan cenderahati bagi setiap pemenang kategori bawah 12 tahun dan bawah 9 tahun.

Bagi kategori bawah 12 tahun, johan menerima RM1,000 dan piala iringan sementara kategori bawah 9 tahun, johan membawa pulang RM800 juga berserta piala iringan.

Naib johan bagi kategori bawah 12 tahun pula menerima RM800 dan kategori bawah 9 tahun pula menerima RM600.

Sementara itu RM400 diberikan kepada pasukan ke separuh akhir kategori bawah 12 tahun manakala kategori bawah 9 tahun diberikan RM300.

=EZY=