Categories
NASIONAL

Runtuhan: Mayat kelapan ditemui

PULAU PINANG 22 OKT: Mayat kelapan yang tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak pembinaan di Jalan Lembah Permai di Tanjung Bungah di sini dijumpai pasukan pencari dan penyelamat kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Penolong Ketua Pengarah Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (PBA) Putrajaya, Edwin Galan Teruki berkata, mayat itu ditemui dalam keadaan dihempap runtuhan cerucuk besi.

Beliau memberitahu, kedudukan mangsa kelapan itu ditemui tidak jauh daripada mangsa ketujuh dijumpai pagi tadi.

“Ketika ini kerja-kerja memotong cerucuk besi berkenaan sedang dilakukan, sebahagian badan masih tertimbus dan kita hanya dapat melihat bahagian paha mangsa.

“Saya menjangkakan kita akan dapat mengeluarkan mangsa kelapan ini dalam tempoh antara dua hingga tiga jam lagi,” katanya kepada media, hari ini.

Seramai 14 pekerja pembinaan yang melakukan kerja mengikat konkrit terperangkap dalam kejadian runtuhan tanah pada jam 8.50 pagi semalam.

Susulan kejadian itu, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dikerahkan bagi membantu operasi SAR mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah terbabit.

=EZY=