Categories
NASIONAL

Asrama tahfiz di Shah Alam terbakar

SHAH ALAM, 23 OKT: Sebuah asrama penginapan pelajar Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran, Kampung Bukit Lanchong, di sini, musnah kira-kira 20 peratus dalam insiden kebakaran malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu, pada jam 8.30 malam dan dua jentera bersama 14 anggota digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada mangsa cedera dalam kebakaran asrama berkeluasan 90 kaki persegi yang terletak di tingkat dua bangunan tiga tingkat itu.

Katanya, api yang membakar beberapa tilam serta katil pelajar berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian, namun punca kejadian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, mudir akademi terbabit Mohd Khairul Ni’mat Doll Kawaid, 33, ketika ditemui pemberita di lokasi memberitahu, api dilihat marak sekitar jam 8.15 malam sebelum mengarahkan 17 pelajar berumur sembilan hingga 17 tahun yang sedang mengaji di tingkat bawah meninggalkan bangunan terbabit.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan punca kebakaran dipercayai ekoran sisa bara ubat nyamuk yang dipasang di dalam asrama itu.

“Akademi ini pernah dilawati bomba, polis dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini dan kita sedang menaik taraf secara berperingkat beberapa keperluan disarankan agensi terbabit demi keselamatan pelajar.

“Malah kita juga akan cuba mewujudkan skuad bomba tahfiz, pada masa depan untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada pelajar serta guru mengambil tindakan pantas jika berlaku sebarang insiden atau kecemasan tidak diduga,” kata Mohd Khairul Ni’mat.

*Sumber: BERNAMA