Categories
SELANGOR

Selangor dahului inisiatif tangani kemiskinan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Negeri mendahului Putrajaya dalam usaha memerangi isu kemiskinan di Selangor.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafie berkata, ia susulan pelaksanaan pelbagai dasar diwujudkan Kerajaan Negeri kini.

Katanya, paras kemiskinan yang berpandukan kepada ukuran per kapita pendapatan membuktikan Selangor sebagai negeri maju dalam membasmi masalah kemiskinan.

“Kadar kemiskinan diukur berdasarkan kepada pendapatan garis kemiskinan per kapita yang mana ia ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Penduduk negeri Selangor melepasi garis itu dan ini membuktikan Selangor jauh terkehadapan dalam menangani isu kemiskinan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kejayaan itu juga didorong hasil inisiatif dan pelaksanaan dasar dijayakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pelbagai pembaharuan dilaksanakan Mohamed Azmin sejak 2014 turut mendorong kepada perkembangan positif itu.

“Walaupun Kerajaan Negeri berjaya mengeluarkan ramai rakyat di Selangor daripada kemiskinan mengikut takrifan Putrajaya, bagi saya ia masih belum mencukupi.

“Ini hanyalah langkah awal, baru di peringkat permulaan saja. Kita mesti meneruskan usaha melebarkan golongan kelas menengah dengan lebih pantas,” katanya.

Terdahulu, di peringkat Kerajaan Negeri pelbagai inisiatif dilaksanakan di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk membantu rakyat Selangor menjana pertumbuhan ekonomi.

=EZY=