Categories
NASIONAL

Tertuduh kes pembunuhan Jong-nam dibawa ke KLIA2

SEPANG 24 OKT: Dua tertuduh pembunuhan kes pembunuhan Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini kira-kira jam 9.50 pagi.

Doan Thi Huong, 28, dan Siti Aisyah, 25, dibawa ke KLIA2 dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lengkap memakai jaket kalis peluru sambil diiringi pasukan polis, lapor KOSMO!.

Thi Huong dan Siti Aisyah hadir ke KLIA2 dengan memakai baju kurung.

Kedua-dua wanita itu hadir ke KLIA2 hari ini bagi melihat lokasi kejadian yang didakwa Jong-nam, 45, dibunuh dengan agen saraf VX.

Turut hadir ke KLIA2 ialah Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin, Ketua Unit Bicara dan Rayuan Wan Shaharuddin Wan Ladin, barisan pembelaan dan pendakwaan serta kakitangan mahkamah.

Lawatan dimulakan dengan melihat kiosk daftar masuk iaitu tempat Jong-nam didakwa disapu dengan agen saraf VX di Aras 3, Balai Pelepasan KLIA2.

Kesemua pihak juga dijangka membuat lawatan di Klinik Perubatan Menara iaitu tempat Jong-nam menerima rawatan selepas disapu agen saraf VX.

Kedua-duanya didakwa bersama empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Jong-nam di KLIA2 pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, petugas media mula memenuhi Balai Pelepasan KLIA2 seawal pukul 6 pagi dan turut dikawal pasukan polis yang bertugas.

Bagaimanapun, hanya 40 wakil media termasuk agensi berita dari luar negara diberi kebenaran untuk membuat liputan prosiding perbicaraan itu.

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Majistret Sepang memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan permohonan oleh Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berdasarkan Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah.

=EZY=