Categories
GLOBAL

AS, Korea Selatan & Jepun jalani latihan kesan peluru berpandu

GLOBAL 24 OKT: Pasukan tentera Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun hari ini menjalani latihan mengesan peluru berpandu sebagai persediaan menghadapi ancaman senjata nuklear terbaharu Korea Utara.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan latihan ketenteraan itu dijalankan di kawasan perairan Korea Selatan dan Jepun, menurut kenyataan tentera Korea Selatan.

Latihan itu sudah dijalankan sejak beberapa bulan lalu berdasarkan perjanjian yang dibuat ketika Mesyuarat Perundingan Keselamatan antara Korea Selatan dan AS pada tahun lalu.

Program senjata nuklear Korea Utara menimbulkan ancaman yang belum pernah terjadi dan serius terhadap Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun.

Perkara itu disuarakan oleh tiga Menteri Pertahanan dari tiga negara itu.

Setiausaha Negara AS, James Mattis, Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera dan Menteri Pertahanan Korea Selatan, Song Young-Moo berikrar untuk mengenakan tekanan diplomatik terhadap Pyongyang termasuk mengukuhkan kerjasama ketenteraan.

Dalam pada itu Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Presiden AS, Donald Trump kemungkinan tidak melawat zon bebas tentera (DMZ) yang memisahkan Korea Utara dan Selatan.

Ia bertentangan dengan amalan pemimpin terdahulu menunjukkan komitmen AS menundukkan Pyongyang.

Kebanyakan presiden AS sebelum ini melawat kawasan berbahaya yang memisahkan tentera AS dan Korea Selatan daripada musuh mereka, Pyongyang.

=EZY=