Categories
SUKANKINI

Thailand venue berkecuali Malaysia vs Korea Utara

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Dua perlawanan pusingan kelayakan akhir AFC Piala Asia UAE 2019 Kumpulan B di antara Korea Utara dan Malaysia akan berlangsung di Thailand pada 10 dan 13 November depan.

Keputusan itu dimaklumkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi laman web rasmi mereka selepas Persatuan Bolasepak Thailand mengesahkan kesanggupan untuk menganjurkan kedua-dua perlawanan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata tempat sebenar dan masa sepak mula akan ditentukan kemudian.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan oleh Persatuan Bolasepak Thailand yang bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi kedua-dua perlawanan ini.

“FA Thailand telah memastikan bahawa AFC telah dapat mengekalkan integriti kesukanan untuk kelayakan Piala Asia AFC,” katanya.

Perlawanan pertama pada 10 November 2017, akan meletakkan Korea Utara sebagai tuan rumah perlawanan manakala perlawanan kedua pada 13 November 2017, dianggap sebagai perlawanan tuan rumah untuk Malaysia.

=EZY=