Categories
SELANGOR

Ular sawa batik 50kg baham kucing

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 30 OKT: Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) berjaya menangkap seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram (kg) di dalam kandang kucing, di Jalan Kebun, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, reptilia sepanjang tiga meter didapati berada pada posisi melingkar kekenyangan selepas dipercayai baru sahaja membaham seekor kucing jantan baka kampung milik seorang warga emas berusia 64 tahun.

Pegawai APM Daerah Klang, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.31 pagi.

“Sebaik tiba 10.25 pagi didapati ular terbabit sedang berlingkar di dalam kandang terbabit dalam keadaan kenyang.

“Kita mengambil masa 15 minit bagi menangkap ular sawa batik itu menggunakan peralatan khas,” katanya lapor Kosmo Online.