Categories
NASIONAL

Papar logo dacing langkah terdesak Najib?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kewujudan logo dacing Barisan Nasional (BN) yang dipaparkan pada televisyen di Dewan Rakyat, 27 Oktober lalu dipersoalkan kerana pembentangan belanjawan adalah untuk negara.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasturi Pato berkata, logo berkenaan dipaparkan ketika pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Setiap anggota Parlimen itu dipilih rakyat dan mereka perlu menghormati prinsip itu.

“Sejak saya menjadi Ahli Parlimen pada 2003, ini kali pertama saya lihat di Parlimen apabila logo dacing dipaparkan semasa persidangan.

“Adakah ini bermaksud Kerajaan Barisan Nasional semakin terdesak dan sanggup menggunakan apa-apa cara sekali pun untuk rakyat melihat logo dacing itu dipaparkan?” soalnya pada sidang media di Parlimen, semalam.

Susulan itu katanya, beliau telah membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat bagi mendapatkan budi bicara Speaker Dewan untuk menjalankan siasatan kejadian itu.

Katanya, siasatan mengenainya perlu dijalankan secara menyeluruh tanpa melindungi individu berkepentingan.

“Dewan Undangan Negeri Selangor dan Dewan Undangan Pulau Pinang selepas bertukar kerajaan tidak pernah memaparkan simbol lambang parti politik semasa bersidang.

“Namun sebaliknya berlaku di Dewan Rakyat. Rakyat sebagai pembayar cukai, adakah kita mahu lihat Dewan Rakyat kini menjadi sebuah institusi berat sebelah kepada Barisan Nasional?

“Kita ingin tahu siapa dalang di sebalik kejadian ini dan Speaker sendiri telah bersetuju untuk menjalankan siasatan supaya perkara ini dapat dibentangkan di Parlimen dan tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=