Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

YIDE segera bantu Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) segera menghulurkan sumbangan ‘Ad-Hoc’ wang tunai kepada Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran, Kampung Bukit Lanchong, yang terbakar baru-baru ini.

Pengurus Operasi Bahagian Sumbangan dan Promosi YIDE, Md Arifin Jaafar berkata, ia merupakan sebahagian inisiatif Kerajaan Negeri menerusi YIDE membantu meringankan beban pusat tahfiz yang terjejas itu.

“Kami bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku di sini sepertimana menimpa anak syurga di Tahfiz Ittifaqiyah, yang sehingga kini masih mengundang kesedihan semua.

“Semoga Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran segera pulih bagi membolehkan anak-anak meneruskan pengajian mereka,” katanya.

Md Arifin berkata, seramai 17 pelajar pusat tahfiz itu kini berehat di rumah masing-masing sementara proses baik pulih bangunan dibuat.

“Kami juga berharap lebih banyak pihak tampil untuk membantu pusat tahfiz ini, termasuk agensi kerajaan dan pihak swasta.

“Semoga usaha kita dapat memberi keselesaan kepada pelajar serta memudahkan mereka untuk segera menyambung semula pengajian,” katanya.

Pada 22 Oktober lalu, Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran musnah kira-kira 20 peratus dalam insiden kebakaran sekitar jam 8.15 malam.

Semalam, Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata Kerajaan Negeri sedang meneliti bentuk bantuan untuk disalurkan kepada asrama berkenaan.

=EZY=