Categories
SELANGOR

YIDE terima mesin hemodialis

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 OKT: Sejumlah RM241,680 diperuntukkan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bagi membiayai enam unit mesin hemodialis sumbangan Wakaf Selangor Muamalat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, pembiayaan itu meliputi tiga unit di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Shah Alam dan tiga unit mesin di Pusat Dialisis MAIS, Sungai Besar.

Katanya, YIDE mengawal selia 263 pesakit yang menjalani rawatan di pusat rawatan miliknya, setakat ini.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Wakaf Selangor Muamalat di atas sumbangan ini.

“Kami turut membuka ruang dan peluang kepada agensi korporat lain untuk bersama menyalurkan sumbangan kepada YIDE dalam membantu masyarakat,” katanya.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan enam unit mesin hemodialis yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, di Wisma MAIS, di sini, hari ini.

Wakaf Selangor Muamalat merupakan perkhidmatan berasaskan konsep wakaf oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad untuk memudahkan pelanggan dan orang awam berwakaf.

Ia adalah usahasama strategik di antara bank berkenaan dengan Perbadanan Wakaf Selangor menerusi rangkaian cawangannya.

Wakaf Selangor Muamalat bertanggungjawab mengutip, mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama Perbadanan Wakaf Selangor.