Categories
SUKANKINI

195 pasukan sertai Perangsang Selangor-MDKL Team Time Trial 2017

 

OLEH NAEEM RAFFI

MORIB, 30 NOV – Seramai 195 atlet dan peminat sukan lumba basikal daripada 39 pasukan mengambil bahagian dalam Kejohanan Perangsang Selangor-MDKL Team Time Trial 2017, baru-baru ini.

Ketua Penyelaras Kejohanan, Mohd Sabri Md Taib berkata, Kejohanan lumba basikal ujian masa berpasukan sering dipertandingkan di peringkat SUKMA, namun belum pernah dipertandingkan secara umum.

“Kami mendapat ilham membawa satu kelainan kepada penggiat sukan berbasikal dengan membuka peluang untuk merasai cabaran berlumba di dalam satu pasukan menerusi kejohanan pertama seumpamanya di negara ini.

“Selain itu, aspek pengurusan serta aturan strategi juga penting kerana setiap pasukan harus memastikan sekurang-kurangnya tiga pelumba berjaya menamatkan kayuhan sejauh 35 km bermula dari Pantai Morib menuju ke Jalan Tanjung Sepat Darat dan masa akan dicatat berdasarkan pelumba ketiga yang melepasi garisan penamat,” katanya dalam kenyataan.

Kejohanan Perangsang Selangor-MDKL Team Time Trial 2017 merupakan sebahagian daripada program Sukan Untuk Semua – Rangsangan Sukan Selangor (RSS) tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang diurus selia Clever Speda dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Penganjurannya bertujuan memperluaskan ilmu berkaitan sukan berbasikal serta memberi peluang kepada umum untuk merasai pengalaman berlumba dalam acara berpasukan.

Upacara pelepasan bertempat di Pantai Morib dan sebahagian aksi perlumbaan menuju ke Jalan Tanjung Sepat Darat.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Elit (bagi atlet lumba basikal profesional atau bekas pelumba negeri dan negara), Terbuka (umum dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia) dan Masters/Veteran (bagi pelumba yang berusia lebih 38 tahun).

Di dalam kategori Elit, pasukan Selangor berjaya meraih tempat pertama dengan catatan masa 45m 52s, tempat kedua dimenangi pasukan Jami Bike Centre dengan masa 47m 10s manakala pasukan Amaniz Elite ditempat ketiga mencatat 48m 01s.

Sementara itu, pasukan XLCT Shah Alam berjaya mengungguli kategori Terbuka dengan catatan masa 51m 02s, diekori rapat pasukan BJCC serta pasukan Pembangunan Perak di tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing mencatat masa 51m 05s dan 51m 13s.

Bagi kategori Masters/Veteran, pasukan dari Perak, Setiawan Cycling Team berjaya menewaskan pencabar lain dengan catatan masa 50m 30s, pasukan Geng Pusing Taman di tempat kedua mencatat 50m 47s, manakala pasukan Endurance OkOk meraih tempat ketiga dengan catatan masa 51m 09s.

Hadiah berupa trofi dan wang tunai bernilai RM1,200 bagi tempat pertama, RM800 kedua dan RM600 ketiga disampaikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan.

Majlis turut dihadiri Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali, Penolong Setiausaha MDKL, Miskon Karim serta Naib Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Selangor, Norazhar Sakiman.