Categories
SELANGOR

20 mangsa maut kemalangan jalan raya sehari

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PELABUHAN KLANG, 23 NOV: Sekurang-kurangnya 20 kes kematian sehari membabitkan rakyat Malaysia dicatatkan berpunca daripada kes kemalangan jalan raya.

Timbalan Pengerusi MKJR Negeri Selangor, Datuk Mazalan Md Noor berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan 7,152 kes kematian dikenalpasti bagi tempoh 2016 lalu.

“Kebanyakan mangsa melibatkan individu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang merupakan golongan muda dan pewaris masa depan negara.

“Kebimbangan kami amat tinggi kerana golongan inilah yang akan menerajui masa depan negara, justeru memerlukan tumpuan semua pihak untuk menangani kes ini secara komprehansif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Pada Majlis Perasmian Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Negeri Selangor, di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah 2, pagi ini.

Pada masa sama kemalangan yang berlaku kini juga mengakibatkan kerugian besar kepada masyarakat dan negara.

“Namun, pelan tindakan kecemasan dikendalikan agensi tertentu di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri diharap mampu merealisasikan hasrat kita untuk menurunkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya ini.

“Pengisian seperti ini juga diakui bahawa setiap gerak kerja dan tindakan dilaksakan pihak berkaitan adalah berdasarkan piawaian ditetapkan.

“Segalanya perlu dilaksanakan dengan teliti, tepat dan pantas,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan, negara dianggarkan mencatat kerugian RM79 bilion ekoran kes kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh 10 tahun dari 2004 hingga 2013.

Secara purata, setiap seorang penduduk yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya menyumbang kerugian kepada negara sebanyak RM1.2 juta.