Categories
SELANGOR

Selangor sasar kadar kematian kemalangan kurang 50%

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PELABUHAN KLANG, 23 NOV: Selangor menyasar pengurangan 50 peratus kadar kematian dan kecederaan parah ekoran kemalangan, menjelang 2020.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Selangor, Dato’ Mazalan Md Noor berkata, sasaran itu dipilih sebagai tema Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia peringkat negeri, hari ini.

“Sasaran ini pastinya menuntut pembabitan semua pihak dalam menerapkan aspek keselamatan jalan raya.

“Ini kerana kematian ekoran kemalangan jalan raya antara kes kematian kelima tertinggi di negara ini,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor.

Terdahulu, statistik kematian kemalangan jalan raya yang direkodkan Jabatan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan Selangor berada, pada tangga tertinggi dengan 64 kes bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Beliau berkata, peningkatan sembilan kes dicatatkan bagi tempoh sama, pada 2016.

Katanya, peningkatan kes dilaporkan berpunca daripada jumlah kemasukan kenderaan yang semakin bertambah, di negeri itu.