Categories
SELANGOR

323 rumah dibina dan baik pulih

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 7 NOV: Sebanyak 323 rumah dibantu untuk dibina baharu dan dibaik pulih dari 2014 hingga 2017.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman berkata ia merangkumi 106 rumah dibina semula sementara 217 lagi rumah dibaik pulih.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta pada 2017 selain menerima sumbangan daripada anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan menikmati rumah selesa dan selamat didiami.

“Terdapat dua jenis bantuan iaitu membina rumah baharu dengan kos sebanyak RM50,000 bagi seunit rumah berkeluasan 660 kaki persegi manakala tidak melebihi RM20,000 untuk membaik pulih rumah, bergantung pada kerosakan yang dialami,” katanya.

Ganabatirau berkata jumlah 323 itu meliputi sembilan daerah dengan Sabak Bernam mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 80 buah rumah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berkenaan peruntukan membiayai pemohon yang ingin membaiki rumah atau disebabkan bencana alam di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

=EZY=