Categories
GLOBAL

4 negara Teluk gesa rakyat tinggalkan Lebanon

GLOBAL 11 NOV: Empat negara Teluk iaitu Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain menggesa rakyatnya meninggalkan Lebanon secepat mungkin dan mengelak mengunjungi republik itu.

Bahrain mengarahkan rakyatnya berbuat demikian pada Ahad lalu sebaik sahaja Perdana Menteri Lebanon, Saad al-Hariri mengumumkan peletakan jawatan manakala Arab Saudi dan Kuwait membuat gesaan sama diikuti UAE beberapa jam kemudian.

Agensi berita rasmi Arab Saudi, SPA memetik sumber Kementerian Luar memaklumkan, rakyat negara itu yang menetap atau mengunjungi Lebanon diminta meninggalkan negara itu secepat mungkin berikutan situasi politik di negara itu sekarang.

“Arab Saudi juga menasihat­kan semua rakyatnya tidak me­ngunjungi Lebanon,” lapor portal Al-Jazeera.

Beberapa jam kemudian Kuwait dan UAE turut menggesa rakyatnya meninggalkan Lebanon serta-merta.

Kementerian Luar Bahrain yang merupakan sekutu Arab Saudi telah mengeluarkan na­si­hat perjalanan dengan alasan ‘faktor keselamatan’.

Lebanon kini berdepan ke­melut politik selepas Hariri mengumumkan peletakan jawatannya semasa melawat Arab Saudi pada Sabtu lalu namun lokasi beliau sehingga kini masih belum diketahui.

Parti Pergerakan Masa Hadapan Lebanon pimpinan Hariri telah menuntut agar Perdana Menteri tersebut pulang ke negara itu serta-merta.

“Kepulangan Hariri penting bagi mengembalikan maruah dan penghormatan Lebanon di dalam dan luar negara,” kata bekas Perdana Menteri Lebanon, Fouad Siniora dalam satu kenyataan.

Wakil Al-Jazeera di Lebanon melaporkan bahawa Presiden negara itu, Michel Aoun akan meminta bantuan masyarakat antarabangsa termasuk Liga Arab, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), China dan Rusia bagi merungkai punca peletakan jawatan Hariri.

Agensi berita Reuters pula melaporkan, seorang pegawai kanan Lebanon mendakwa, kerajaan negara itu tidak menerima sebarang dokumen rasmi peletakan jawatan Hariri justeru beliau masih berfungsi sebagai Perdana Menteri Lebanon.

SUMBER: AGENSI