Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Alih jentera strategik bantu operasi di Seberang Prai

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

PULAU PINANG, 8 NOV: Pasukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor terus menggiatkan usaha bagi membantu Kerajaan Pulau Pinang dalam operasi pembersihan sekitar negeri itu.

Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, semua anggota juga peralatan berada dalam keadaan baik bagi menjayakan misi kemanusiaan banjir terbabit.

“Sebahagian besar anggota dan jentera sudah kita tugaskan untuk melaksanakan kerja pembersihan kawasan serta penebangan pokok di lokasi seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Selebihnya membantu operasi membabitkan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) yang banyak mengalami masalah pokok tumbang,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Pulau Pinang dilanda banjir ekoran hujan lebat selama 15 jam selain ribut yang melanda negeri itu, pada 4 November lalu.

Sehubungan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menghulurkan sumbangan RM1 juta selain mengarahkan 175 Anggota UPBN dan 12 OBT bersama 47 aset untuk turun padang membantu Kerajaan Pulau Pinang.

Pada masa sama, Ahmad Fairuz berkata, pihaknya akan memindahkan aset strategik dari bandar raya Pulau Pinang ke kawasan Seberang Prai bagi melaksanakan operasi pembersihan dengan lebih efektif.

“Banjir di Seberang Prai sudah mulai surut dan sesuai untuk kerja pembersihan membabitkan jentera berat.

“Setakat ini, kita menerima kerjasama baik dari dua PBT Pulau Pinang bagi melaksanakan semua operasi,” katanya.