Categories
NASIONAL

Jamal dinasihat hentikan aktiviti ‘kurang siuman’ – Zuraida

OLEH SABIRAH AZIZ

AMPANG, 8 NOV: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menasihatkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos supaya berhenti melakukan perkara tidak siuman dan membuang masa.

Beliau berkata, nasihat dan teguran yang sama pernah diberikan sewaktu perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Saya minta dia berhenti lakukan aktiviti-aktiviti yang kurang siuman dan bukan-bukan sebab berdosa, jadi kalau lepas ini dia buat lagi perkara sama, dia akan terima padahnya.

“Kalau dia buli orang lagi, kita akan terus ambil tindakan dan takkan biarkan orang macam ini merosakkan masyarakat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini.

Ahli Parlimen Ampang itu mengulas mengenai kes samannya terhadap Jamal berhubung insiden pukul pada 13 November 2016 lalu.

“Alhamdulilah..selepas kes itu, sewaktu dia buat fitnah, memang banyak peguam telefon saya nak ambil kes ini sebab mereka yakin boleh menang tapi bagi saya, menang bukan menjadi isu, tetapi prinsipnya.

“Jadi saya harap dia akan berhenti buat bukan-bukan dan berubah. Saya minta dia jadikan pengajaran, jangan senang-senang buli orang. Lagipun banyak kes saman dia yang belum selesai lagi,” katanya.

Dalam kejadian itu, Jamal mendakwa ditumbuk di mukanya ketika mengetuai penyokong Baju Merah ketika mengekori Zuraida di Pusat Beli-belah Ampang Point dan menjerit polis memukulnya serta menuduh penyokong Bersih mencederakannya.

=EZY=