Categories
GLOBAL

AS mahu kenakan sekatan terhadap Myanmar

WASHINGTON 5 NOV: Anggota Senat Amerika Syarikat (AS) bercadang mengenakan sekatan terhadap tentera Myanmar dalam tindakan memberi tekanan kepada negara Asia Tenggara itu supaya mengakhiri penganiayaan terhadap masyarakat Islam Rohingya.

Anggota daripada parti Republikan dan Demokrat mahu melaksanakan undang-undang yang bakal menyekat bantuan atau kerjasama dengan tentera Myanmar, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

White House juga bakal menyenaraikan pegawai kanan tentera yang akan disekat atau dibenarkan masuk ke AS.

Sebuah kumpulan dwipartisan di dalam Senat termasuk pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat, John McCain dijadual memper­kenalkan rang undang-undang mereka pada Khamis ini.

Mereka turut menggesa kajian semula terhadap import dan perdagangan dengan Myanmar termasuk mengharamkan kemasukan jed dan batu delima dari negara terbabit.

“Undang-undang itu akan mengambil kira pegawai kanan tentera yang bertanggungjawab membunuh dan mengusir lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah di Myanmar sekali gus menjelaskan bahawa AS tidak akan menyokong kekejaman itu,” kata McCain dalam satu kenyataan.

Cadangan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump tiba dalam lawatan ke Asia untuk menghadiri satu sidang kemuncak dengan negara-negara Asia Tenggara termasuk Myanmar.

AS mengutuk keganasan yang dilakukan oleh tentera sehingga menyebabkan lebih 600,000 orang melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

“Keganasan ini perlu dihentikan, pelaku mesti bertanggungjawab dan perlu ada kawalan awam terhadap tentera dan pasukan keselamatan Myanmar,” kata anggota Senat, Eliot Engel daripada Parti Demokrat.

Mereka juga mahu tentera memastikan pelarian yang melarikan diri dari negeri Rakhine pulang semula ke tempat tinggal dalam keadaan selamat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendakwa Myanmar melakukan kempen pembersihan etnik. – AFP