Categories
NASIONAL

Azmin, pimpinan KEADILAN solat hajat mohon kesejahteraan Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 NOV : Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama pimpinan parti itu menyertai majlis bacaan Yassin dan solat hajat bagi memohon kesejahteraan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bacaan Yassin dilakukan sejurus solat magHrib berjemaah yang diadakan di kediaman rasmi, Dato’ Menteri Besar Selangor, di Seksyen 7, malam tadi.

Antara pimpinan tertinggi KEADILAN yang turut hadir, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin; Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Ketua Wanita, Haniza Talha.

Hadir sama, pimpinan tertinggi Kerajaan Selangor, Amirudin Shari dan Dr Daroyah Alwi dan Senator Dr Muhammad Nur Manuty.

Sabtu lalu, Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang selesai menjalani pembedahan pada bahu kanan – susulan kecederaan dialami sejak 2014 lalu.

Anak sulung tokoh reformis itu, Nurul Izzah Anwar berkata, pembedahan sekitar empat jam itu dilakukan di Hospital Kuala Lumpur, pada pagi Sabtu.

Beliau berkata, Anwar seharusnya memerlukan rawatan fisioterapi secara intensif dua atau tiga minggu sekali di hospital.

Bagaimanapun, pihak keluarga mendakwa Anwar sebelum ini tidak diberikan akses rawatan secara konsisten dan menyebabkan kesihatannya terus menurun.

=EZY=