Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bekas Editor NSTP: Kenapa ahli Umno sendiri tak sokong akhbar mereka?

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 12 NOV: Bekas Editor Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Mustapha Kamil Mohd Janor menulis beliau mahu Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa bertanya kepada ahli Umno dahulu mengapa mereka tidak menyokong akhbar mereka sendiri.

Persoalan itu dilontarkan Mustapha Kamil di laman Facebooknya ekoran isu Annuar Musa mengkritik Kerajaan Selangor menghentikan langganan akhbar-akhbar Kumpulan Utusan dan New Straits Time Press (NSTP).

“Dah adat lah tu. Selangor itu di bawah kerajaan parti pembangkang. Utusan dan NSTP itu UMNO yang empunya. Buat apa Kerajaan Selangor nak langgan akhbar yang polisi sidang pengarangnya semata-mata untuk seteru politik mereka?

“Jadi, elok lah tanya ahli UMNO dahulu kenapa mereka tidak menyokong akhbar mereka sendiri,” tulisnya.

Mustapha menulis bagaimanakah akhbar NST itu jualan hariannya sekitar 50,000 naskah sahaja sehari dan Berita Harian sekitar 100,000 (mungkin kurang) sedangkan Umno ada tiga juta ahli.

“Tapi elok TS Annuar Musa ini tahu bahawa semasa saya disana selama 28 tahun, nak mintak ketua-ketua UMNO beli akhbar kumpulan itu pun amat susah.

“Jika satu per-sepuluh sahaja pun dari jumlah ahli UMNO beli kedua akhbar ini, keduanya akan sihat kewangan mereka,” tulisnya.

Dalam laporan tahunan Kumpulan Utusan, syarikat itu rugi lebih RM16 juta pada tahun 2012, diikuti rugi lebih RM20 juta tahun 2013, terus rugi RM83.65 juta pada 2014, rugi lagi lebih RM16 juta pada 2015 dan meneruskan trend kerugian tahun lalu dengan RM66.7 juta.

Bagi tempoh 2012 hingga 2016, Harian Metro menunjukkan penurunan edaran sebanyak 62.5 peratus, daripada 379,169 kepada 142,262 naskhah.

New Straits Times pula mengalami kemerosotan sebanyak 41.6 peratus, daripada 93,321 kepada 54,490 naskhah tahun lalu.

Berita Harian dan sebuah lagi akhbar arus perdana bahasa Melayu, Utusan Malaysia mengalami kemerosotan edaran sehingga 30 peratus bagi tempoh sama.

Sebelum ini media melaporkan pada 1 Oktober lalu menandakan berakhirnya penjualan akhbar terbitan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) secara cetakan di Sabah dan Sarawak.

Pembaca di negeri itu hanya boleh mengikuti tiga akhbar syarikat itu, Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times menerusi versi atas talian.

=EZY=