Categories
EKONOMI SELANGOR

Belanjawan Selangor 2018 lebih menyeluruh daripada Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Belanjawan Selangor 2018 lebih tuntas, menyeluruh dan merangkumi semua aspek termasuk pembangunan ekonomi dan membina masyarakat penyayang berbanding belanjawan dibentangkan Kerajaan Persekutuan.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, belanjawan kali ini turut menyaksikan sekali lagi Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif baru kepada rakyat.

“Saya kira rakyat Selangor akan hayati usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup dan membina asas ekonomi yang kukuh untuk pembangunan ekonomi akan datang,” katanya selepas pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri turut mempertingkatkan pembangunan pelaburan bagi menjana ekonomi Selangor ke tahap lebih tinggi dengan menambah peruntukan penganjuran Selangor Business International Summit kepada RM9 juta dan Selangor Information Technology & Ecommerce Council sebanyak RM6 juta.

Katanya, langkah menambah menambah peruntukan bagi memperluaskan perkhidmatan bas percuma Smart Selangor daripada RM20 juta kepada RM30 juta dan membina laluan basikal juga satu langkah yang tepat pada masanya bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Majlis Bandaraya dan Perbandaran diminta membina 15 kilometer dan Majlis Daerah pula 10 kilometer untuk laluan berbasikal di kawasan masing-masing,” katanya.

=EZY=