Categories
NASIONAL

Tabung Haji: Jangan dedah akaun kepada pihak tak dikenali

SHAH ALAM 4 NOV: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menafikan pihaknya ada menghubungi mana-mana pendeposit bagi menjalankan transaksi pemindahan kewangan.

Tabung Haji berkata, pihaknya menerima aduan pendepositnya mengenai kewujudan sindiket menyamar kakitangan agensi itu dan memaklumkan akan berlaku transaksi pindahan wang dari akaun Tabung Haji kepada pihak ketiga melalui bank komersial tempatan.

“Kita tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi tujuan pindahan kewangan dan peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon.

“Jangan percaya dengan panggilan tersebut, abaikan arahan mereka dan jangan sesekali mendedahkan maklumat akaun kepada orang yang tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah kenyataan itu, ketika panggilan dibuat sindiket itu memaklumkan mereka akan mengalihkan panggilan ke Balai Polis Kota Kinabalu di mana individu yang menyamar sebagai pegawai di balai akan mendapatkan maklumat akaun pendeposit.

=EZY=