Categories
SELANGOR

Buang sampah haram, MDKL kompaun RM1,000

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LANGAT, 16 NOV : Penduduk di sekitar Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata bagi memastikan kebersihan daerah itu kekal terjamin.

MDKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, pesalah yang melakukan aktiviti pembuangan sampah secara haram boleh dikenakan hukuman maksima sehingga RM2,000.

“MDKL memperhatikan anda. Membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya adalah satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 1994.

“Pesalah boleh dikenakan tindakan kompaun maksimum RM1,000 dan denda maksimum RM2,000,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pemilik tanah persendirian atau penceroboh tanah kerajaan yang bergiat aktif dalam aktiviti pembuangan sampah haram.

Beliau berkata, masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tapak milik kerajaan dan individu hingga mengakibatkan keadaan tanah rosak selain menyusahkan penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri sebelum ini komited memastikan pengurusan sampah negeri dilaksanakan secara berkesan menerusi lantikan perkhidmatan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah mengesahkan pengambilalihan baru itu menunjukkan kesan positif dengan tahap kebersihan meningkat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, di Selangor.