Categories
SUKANKINI

Maju Motor pasukan terbaik negara

SHAH ALAM, 16 NOV: Menjelang pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor membuktikan kedudukan mereka selaku pasukan terbaik negara setelah mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan berpasukan dan individu.

Kejayaan tahun kedua berturut-turut itu diperoleh setelah menyapu bersih kesemua piala utama selepas turut melakukannya pada musim 2016.

Pusingan terakhir kejuaraan kali ini dijadual berlangsung di Dataran Bandar Penawar, Johor pada 18 dan 19 November ini.

Sebaik tamat perlumbaan minggu ini, Kasma Daniel Kasmayuddin akan membawa pulang gelaran keseluruhan kelas perdana yang kedua selepas memenangi gelaran CP130 pada musim 2016.

Manakala Mohd Akid Aziz berjaya mempertahankan gelaran keseluruhan CP115 buat tahun kedua berturut-turut.

Pencapaian ini meneruskan tradisi cemerlang pasukan Maju Motor dalam sejarah 24 tahun Kejuaraan Cub Prix dengan meraih 22 gelaran individu dan berpasukan termasuk di peringkat Asia.

Pemilik dan pengurus pasukan, Yong Ying Hoe berkata, kejayaan mendominasi kedua-dua kategori sejak beberapa tahun kebelakangan ini dicapai atas kerjasama banyak pihak.

“Di atas litar nampak seperti pelumba kami melakukan dengan mudah. Hakikatnya, bukan mudah untuk meraih apa yang kami ada pada hari ini.

“Kerjasama semua pihak dari segi pengurusan, pelumba, rakan penaja seperti pengeluar Yamaha, rakan teknikal dan pembekal produk alat ganti berprestasi tinggi UMA Racing dan Racing Boy, Petronas banyak membantu membangunkan jentera terbaik.

“Gabungan pelumba berpengalaman dan pelumba muda juga menjadi faktor penting,” katanya.

Maju Motor mempunyai satu lagi misi penting untuk memenangi gelaran individu kategori Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang akan berlangsung di Thailand, awal Disember depan.

Selain itu, pasukan ini juga sudah mengesahkan gelaran mereka sebagai pasukan terbaik kategori tersebut.