Categories
PBT SELANGOR

Catur Piala YDP MPAJ dapat sambutan menggalakkan

OLEH SABIRAH AZIZ

AMPANG, 27 NOV: Seramai 179 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Catur Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang masuk kali kedua penganjurannya di Galeri MPAJ hari ini.

Pertandingan anjuran MPAJ dengan kerjasama Pintar Bestari Enterprise, Young Chess Masters dan AI Chess itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka (bawah 17 tahun dan veteran 40 tahun ke atas) serta bawah 12 tahun.

Setiap peserta perlu membayar yuran sebanyak RM10.60 di mana permainan adalah mengikut peraturan catur antarabangsa dan setiap peserta perlu melalui tujuh pusingan di mana setiap pusingan diberi masa selama 25 minit.

Pengarah Jabatan Belia dan Masyarakat MPAJ, Khairilazhar Ismail berkata, pertandingan itu sebagai platform menghimpunkan peminat catur untuk mengasah kemahiran dan mencungkil bakat baharu dalam sukan tersebut.

“Kita menerima banyak penyertaan luar yang amat menggalakkan kali ini. Selain itu, terdapat juga peserta golongan kelainan upaya (OKU) menyertai pertandingan ini.

“Diharapkan peserta terutamanya golongan belia mendapat pendedahan untuk melatih diri mereka dalam sukan catur ini,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Akademi Young Chess Masters (YCM) Halim Shuhaimi Yeop Johari berkata, pertandingan seumpama itu sebelum ini banyak diadakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Bagaimanapun, pada kali ini, pelbagai lapisan masyarakat dapat menyertai pertandingan ini yang boleh dijadikan pengisian sempena cuti sekolah.

“Pertandingan ini boleh menjadi latihan kepada peserta untuk memahirkan diri dalam catur,” katanya sambil menambah pertandingan itu turut disertai lima pemain catur handalan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini dalam Kejohanan Catur YDP MPAJ di sini, semalam.

Dalam pertandingan itu, Zulkippli Iskandar Haikal johan kategori bawah 12 tahun dan Salihin Ahmad Danial Aqil johan kategori terbuka bawah 17 tahun.

Sementara itu, Mas Hafizulhelmi dan Yusof Kamaluddin memenangi kategori terbuka.

Zulkippli membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan trofi manakala tiga lagi pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300 berserta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua MPAJ Abd Hamid Hussain.

=EZY=