Categories
SELANGOR

Dakwaan Sulaiman, mesyuarat jawatankuasa SELCAT minggu hadapan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, akan memanggil semua Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) bagi meneliti aduan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berhubung isu tanah Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.

Selaku Pengerusi SELCAT, beliau berkata, notis memanggil mesyuarat dijangka akan dikeluarkan minggu hadapan selepas sidang Dewan Negeri Selangor selesai minggu ini selain memandang serius aduan berhubung jawapan mengelirukan yang diberikan, dalam sidang DNS.

“Saya akan siasat dengan teliti berhubung jawapan bertulis yang mengelirukan. Ini memang skop kerja Speaker kerana semua agensi kerajaan mempunyai tanggungjawab memberikan jawapan yang tepat, dalam DNS.

“Saya akan melihat aduan beliau (Sulaiman) sama ada akan disiasat SELCAT melalui pendengaran awam. Saya akan mengeluarkan notis minggu hadapan bagi memanggil semua ahli untuk meneliti aduan ini dan membuat keputusan secara bersama,” katanya pada sidang media di Lobi DNS selepas menerima dokumen aduan yang diserahkan Sulaiman, hari ini.

Katanya, ahli jawatankuasa SELCAT akan menentukan sama ada aduan yang dibawa Sulaiman akan dipanjangkan untuk pendengaran awam, ditolak atau diteliti Jawatankuasa Pilihan mengenai Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) yang dipengerusikan Timbalan Speaker, Dr Shafie Ngah.

Hannah berkata, perkara itu akan diputuskan bagi mengelakkan pertindihan tindakan memandangkan Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau memaklumkan dalam DNS bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil dokumen kes berkenaan.

Berdasarkan hansad DNS, Ganabatirau memberitahu beberapa laporan polis dan SPRM dibuat pembangkang yang merujuk kepada Barisan Nasional (BN) Selangor berhubung isu pemberian lot tanah, di Kampung Sungai Yu.

“Saya difahamkan daripada PDRM dan juga SPRM dari Shah Alam sehingga Putrajaya sudah datang ke Pejabat Tanah Kuala Selangor untuk mendapat maklumat serta membawa beberapa dokumen bersama dengan mereka,” katanya.

Berkenaan kedudukan Sulaiman, Hannah menjelaskan, beliau boleh menyertai mesyuarat ahli jawatankuasa minggu hadapan kerana bukan individu berkepentingan dalam isu lot tanah Sungai Yu.