Categories
GLOBAL

Spekulasi rampasan kuasa, tentera dikerah kawal Harare

GLOBAL 15 NOV: Anggota tentera dikerah berkawal di ibu negara Zimbabwe di sini, selain dilaporkan sudah menguasai stesen penyiaran tempatan selepas parti pimpinan Presiden Robert Mugabe, ZANU-PF menuduh ketua tentera merancang pemberontakan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan insiden terbaru di Harare turut mencetuskan spekulasi berlakunya rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Ia berlaku 24 jam selepas ketua tentera, Jeneral Constantino Chiwenga, mengancam campur tangan untuk mengakhiri usaha menyingkirkan sekutunya dalam parti ZANU-PF.

Sementara itu, wartawan Reuters turut menyaksikan beberapa pengangkut kereta perisai di beberapa jalan utama di sini, sambil anggota tentera mengarahkan kenderaan penduduk meneruskan perjalanan.

“Jangan cuba melakukan sesuatu yang pelik. Teruskan perjalanan,” jerit seorang anggota tentera kepada wartawan Reuters yang melalui Harare Drive.

The rare appearance of armoured vehicles outside Harare came a day after the head of the armed forces vowed to ‘step in’ to stop a political purge CREDIT: REUTERS

Dua jam kemudian, tentera dilaporkan menguasai stesen penyiaran Zimbabwe, ZBC dan mengarahkan kakitangan meninggalkan bangunan itu.

“Tidak lama kemudian, tiga letupan kuat menggegarkan ibu negara Afrika Selatan,” kata saksi kepada Reuters.

Pihak tentera belum mengeluarkan kenyataan berhubung nasib Mugabe, 93, yang memerintah Zimbabwe selama 37 tahun.

Sebelum itu, Duta Zimbabwe ke Afrika Selatan, Isaac Moyo menolak dakwaan berlakunya rampasan kuasa, sebaliknya menyalahkan media sosial kerana menyebarkan maklumat palsu.

“Sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku, ia hanyalah dakwaan yang disebarkan menerusi media sosial,” kata Moyo.

=EZY=