Categories
SELANGOR

Ekonomi Selangor dijangka lebih tinggi 5.5% – 6%

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2018 dijangka lebih tinggi pada kadar 5.5 peratus hingga 6 peratus banding tahun sebelumnya pada kadar 5 peratus hingga 5.5 peratus.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, faktor utama pertumbuhan itu dipacu kerancakan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Katanya, nilai ditambah sektor perkhidmatan menyumbang 59.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sementara sektor pembuatan dianggarkan menyumbang 28.8 peratus, pada tahun semasa.

“Kerajaan Negeri juga senantiasa berusaha meningkatkan jumlah pelaburan asing dan domestik.

“Sehingga Disember 2016, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM7.88 bilion dengan 242 projek,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Selangor juga kekal sebagai penyumbang nombor satu kepada KDNK Malaysia, dengan sumbangan RM251.6 bilion atau 22.7 peratus, pada 2016, berbanding 22.6 peratus (RM240 bilion) pada 2015.

“Selangor juga kekal menjadi destinasi utama pelabur kerana keyakinan mereka terhadap iltizam Kerajaan Negeri dalam mempertahankan prinsip ‘good governance’, ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.

 

=EZY=