Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi Kafa-i bantu keluarga susah tampung yuran anak

HULU SELANGOR, 8 DIS : Inisiatif Selangor memberi subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) sedikit sebanyak membantu keluarga terkesan akibat pandemik Covid-19.

Abd Halim Hamzah

Ketua Guru Sekolah Kafa-i Kampung Serigala Abd Halim Hamzah berkata bantuan RM30 sebulan besar maknanya kepada golongan susah terutama dalam keadaan kos sara hidup makin tinggi.

“Peningkatan kos sara hidup menyebabkan ada segelintir ibu bapa terpaksa tangguh bayar yuran sekolah anak.

“Kami faham kesusahan mereka ditambah pula dalam situasi pandemik. Apabila Kerajaan Selangor umum perkara ini, saya rasa ia merupakan khabar gembira kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Penyerahan Komputer Kepada Sekolah Kafa-i oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu di sini.

Siti Zabedah Muklas

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Agama Hulu Selangor Murni Muhammad berkata pihaknya menyambut baik usaha Kerajaan Selangor yang sentiasa cakna terhadap nasib rakyat.

“Dengan subsidi ini saya percaya mungkin selepas ini lebih ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah Kafa-i.

“Namun, saya berharap masyarakat menggunakan insentif diberikan Kerajaan Selangor ini sebaiknya,” katanya.

Pada 26 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 mengumumkan pemberian subsidi RM30 sebulan kepada 14,000 murid daripada keluarga B40

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian sekali bayar itu julung kali dilaksanakan dan inisiatif juga sebagai galakan kepada masyarakat menyediakan pendidikan agama Islam untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Categories
AGENSI SELANGOR

60 projek baik pulih, bina kemudahan baharu sukan setiap DUN

SHAH ALAM, 28 NOV: Kira-kira 60 projek baik pulih termasuk pembinaan kemudahan baharu sukan dilaksanakan bermula tahun depan, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata kerja naik taraf menggunakan peruntukan tambahan sebanyak RM4 juta meliputi gelanggang futsal, bola tampar, badminton dan sepak takraw.

“Kita bersyukur dan terima sebaiknya peruntukan diberi Kerajaan Negeri memandangkan dana sedia ada tidak cukup, apatah lagi masih ada projek baik pulih yang perlu dijalankan.

“Kita akan kenal pasti kemudahan sukan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama kawasan kampung yang rosak dan memerlukan pembaikan untuk kegunaan orang ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 40 projek penyelenggaraan kemudahan sukan dilaksanakan tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM2 juta dengan kebanyakannya sudah siap.

“Ada beberapa projek sedang berjalan dengan jangkaan siap menjelang akhir tahun ini. Kita harap kemudahan sukan yang disediakan dimanfaatkan penduduk sebaiknya bagi mengelak kerosakan,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 memaklumkan peruntukan bagi projek membaik pulih dan membina infrastruktur sukan ditambah kepada RM4 juta tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata had anggaran kos bagi setiap DUN sehingga RM100,000 bagi tujuan itu.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pakar ekonomi: Belanjawan Selangor selesaikan kemelut pascapandemik

SHAH ALAM, 25 NOV: Semua pihak menunggu Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November. Tumpuan utama ialah manfaat rakyat menerusi pembentangan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada masa sama, belanjawan negeri juga diharapkan berupaya memacu perkembangan Selangor selaku gerbang ekonomi utama negara, yang mempengaruhi 6 juta rakyat Malaysia secara langsung.

Ikuti kupasan pra-Belanjawan Selangor 2022 menerusi wawancara ALANG BENDAHARA bersama Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Afzanizam Abdul Rashid dan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Bagi pasca Covid-19, apakah perkara yang sepatutnya menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2022?

Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Mohd Afzanizam: Berdasarkan langkah kerajaan persekutuan, saya percaya lebih baik mengekalkan pengembangan dasar fiskal memandangkan pemulihan ekonomi masih peringkat awal dan terdedah kepada kejutan. Ketika ini, wujud kebimbangan terhadap tekanan peningkatan inflasi susulan masalah penawaran global. Maka, Kerajaan Selangor wajar mengekalkan langkah pengembangan bagi membolehkan pemulihan ekonomi lebih konsisten pada 2022 dan tahun seterusnya.

Dr Ahmed Razman: Fokus untuk Kerajaan Selangor dalam Belanjawan 2022 perlu lebih banyak, usaha memastikan tiada individu atau kumpulan tercicir daripada menerima bantuan Covid-19, menyuntik ekonomi negeri dengan memastikan proses pemulihan pelbagai kumpulan khususnya usahawan kecil dan sederhana berjalan lancar dan memulakan usaha menarik pelaburan mampan ke dalam negeri. Kerajaan Negeri juga perlu lebih agresif mencipta lebih banyak peluang untuk warganya dan perniagaan menuju ke arah ekonomi baharu seperti ekonomi digital dan meneroka potensi ekonomi lain seperti Revolusi Industri 4.0, sukan dan industri kreatif.

Sebagai individu yang tinggal di Lembah Klang dan juga rakyat negeri, apa yang dijangkakan daripada belanjawan kali ini?

Mohd Afzanizam: Lazimnya, dasar yang akan dibuat adalah pemberian tunai, geran perniagaan dan pinjaman mikro. Saya fikir ia akan terus relevan selagi warga Selangor, khususnya yang terjejas akibat Covid-19 sangat bergantung kepada bantuan untuk pulih. Selain bantuan kewangan, peningkatan kemahiran menerusi latihan dan juga padanan kerja juga penting kerana pembangunan kapasiti baik untuk manfaat jangka panjang.

Dr Ahmed Razman: Warga Selangor berharap lebih banyak peluang untuk mereka meningkatkan kemahiran dan latihan semula bagi memastikan mereka mendapat upah kerja lebih banyak memandangkan kos hidup meningkat saban tahun terutama di Lembah Klang. Wujud kebimbangan bilangan miskin bandar meningkat dan jurang pendapatan melebar antara bandar dan luar bandar.

Maka, jenis pelaburan yang dibawa penting untuk tidak perlu lagi bergantung kepada industri pembuatan yang menggunakan tenaga kerja murah, tetapi menumpukan industri berasaskan perkhidmatan seperti perkhidmatan kewangan memandangkan Tun Razak Exchange (TRX) akan beroperasi tidak lama lagi dan kemungkinan juga industri agro makanan yang khusus dalam pertanian urban. Jika Kerajaan Negeri dapat menarik pelaburan dan memulakan jenis industri seperti ini, rakyat mampu meningkatkan pendapatan menerusi kerja berkemahiran tinggi dan upah lebih banyak.

Pada Belanjawan Selangor 2021, salah satu fokus utama negeri ialah pendigitilan dan adakah perkara itu masih relevan untuk tahun depan?

Mohd Afzanizam: Pendigitalan akan berlanjutan untuk tempoh yang lama. Ia akan terus diguna sama ada dengan atau tanpa campur tangan kerajaan. Kerajaan Selangor perlu sedar tindakan mengabaikannya akan mendatangkan risiko pada kerajaan dan melebarkan lagi jurang pendapatan dan ketidaksamaan kekayaan. Sesetengah bidang yang perlu ada berkaitan dengan pendigitalan antaranya pemilikan telefon pintar, kemampuan melanggan internet, kelajuan data dan liputan. Justeru, sesetengah prasarana adalah bawah kerajaan persekutuan.

Sehubungan itu, penyelarasan antara persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan amat penting bagi memastikan kejayaan pendigitalan. Geran perniagaan yang ditawarkan peringkat persekutuan terutama dalam bidang berkaitan penggunaan digital dalam kalangan pemain industri kecil dan sederhana amat penting. Maka, penyelarasan yang baik akan membantu meningkatkan kadar pendigitalan yang membantu pemain industri kecil dan sederhana di Selangor.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

Dr Ahmed Razman: Ya, ia masih relevan memandangkan fasa pertama program Jalinan Digital Negara akan selesai menjelang 2022 dan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertajuk “Laporan Ekonomi Digital Sedunia 2021” menumpukan fakta bahawa ekonomi seluruh dunia menuju pendigitalan dan jika kita tidak mengejarnya, kita akan ketinggalan. Negara-negara Asia Pasifik masih ketinggalan di belakang negara maju dalam aspek langganan telefon bimbit dan jalur lebar.

Penggunaan 5G dalam kalangan negara Asia Pasifik hanya sekitar 11 peratus berbanding Amerika Utara (47 peratus) dan China (46 peratus). Justeru, untuk mengekalkan daya saing dan meningkatkan rangkaian serta komunikasi dalam negeri, pendigitalan wajar kekal sebagai fokus utama untuk belanjawan tahun depan.

Belanjawan Selangor 2022 akan menumpukan peningkatan hasil negeri, pendidikan, inisiatif membantu mereka yang terjejas kerana Covid-19?

Mohd Afzanizam: Hasil negeri berkait rapat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri (KDN). Dengan peningkatan perdagangan global, Selangor akan mendapat manfaat dan membolehkannya meningkatkan upaya mengutip lebih banyak cukai. Pendidikan adalah mengenai pembangunan kapasiti. Jadi, kita tidak salah dengan pendidikan. Yang penting keusahawanan. Kita telah melihat ramai rakyat Malaysia terbabit dengan perniagaan hasil perkembangan teknologi memberi pilihan untuk orang Selangor menambah pendapatan. Sehubungan itu, latihan keusahawanan perlu digalakkan supaya rakyat lebih tahu bagaimana untuk mengendalikan perniagaan, terutama apabila pendigitalan dalam setiap perniagaan.

Dr Ahmed Razman: Saya setuju perkara ini patut diberi perhatian tahun depan memandangkan 2022 adalah masa untuk menjana hasil lebih tinggi susulan peningkatan keyakinan pembeli. Pada masa sama, pandemik menyebabkan pelajar berdepan sukar kerana tidak dapat pendidikan sempurna dan kehilangan banyak jam pembelajaran khususnya dalam kalangan penduduk di luar bandar dan golongan berpendapatan rendah (B40).

Adakah perlu lebih banyak bantuan dan insentif lain kepada pengusaha industri kecil dan sederhana? Mengapa?

Mohd Afzanizam: Covid-19 menjejaskan banyak industri antaranya pelancongan, makanan dan minuman, peruncitan dan hiburan. Meski larangan rentas negeri ditarik semula, rentak pemulihannya akan mengambil masa. Sementara itu, akan ada lompang kutipan hasil, tidak sebaik dahulu. Justeru, geran dan pinjaman mikro akan membantu industri kecil dan sederhana dalam urusan perniagaan khususnya dalam bidang berkaitan modal kerja. Ini peluang untuk meminta industri kecil dan sederhana untuk menaik taraf perniagaan supaya layak mendapat bantuan kewangan. Jika tidak, ia hanya urusan perniagaan biasa bagi mereka.

Dr Ahmed Razman: Ya, penting untuk terus membantu mereka memandangkan industri kecil dan sederhana masih dalam fasa pemulihan dan memerlukan masa serta bantuan kewangan sebelum mereka boleh menjana pendapatan seperti sebelum ini dan menjadi mampan. Bagaimanapun, penekanan perlu diberi kepada jenis bantuan untuk memastikan kemampanan perniagaan berbanding bantuan sekali beri.

Pakej bantuan untuk pihak yang terkesan kerana Covid-19 telah diberi semasa pandemik. Adakah program kebajikan wajar diteruskan atau perlu mencari kaedah lebih kreatif?

Mohd Afzanizam: Antara isu utama dalam pemberian bantuan kewangan adalah kriteria terutama untuk program pemberian tunai. Kebiasaannya, ia bersandarkan tahap pendapatan. Pendapatan mungkin tidak memberi gambaran sebenar. Contohnya, seorang pesara yang pencennya separuh daripada gaji. Jadi mereka boleh dikategorikan sebagai B40 jika gaji akhir adalah RM4,000 yang bermakna mereka menerima RM2,000. Tetapi jika kita lihat lebih teliti misalnya rumah, simpanan dan mungkin elaun bulanan yang diterima daripada anak-anak bekerja, mereka mungkin tidak layak untuk bantuan. Pokoknya, kita perlu lebih cakna dalam menilai penerima bantuan bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran.

Muhammad Huzaifi Ismut (kiri) bersama rakan menunjukkan kotak makanan diterima ketika penyerahan bantuan makanan kepada mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 8 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


Dr Ahmed Razman:
Program kebajikan wajar diteruskan kerana masih ramai yang memerlukan bantuan dan bilangan orang yang tidak bekerja masih tinggi. Bagaimanapun, harus ada usaha bersepadu antara Kerajaan Negeri, swasta, badan bukan kerajaan, persatuan peniaga dan orang perseorangan. Selangor mencatat kutipan hasil RM1.79 bilion daripada sasaran iaitu RM2.2 bilion tahun ini setakat 30 September 2021.

Sehingga hari ini, kira-kira RM819.27 juta atau 67.18 peratus dibelanjakan ke atas pengurusan. Belanja pembangunan sebanyak 47 peratus atau RM523.45 juta. Lebihan dianggar RM449.15 juta. Adakah perkara sama berlaku di negeri lain atau peringkat nasional?

Mohd Afzanizam: Prestasi fiskal tidak sama dalam kalangan negeri-negeri. Selangor adalah penyumbang KDN terbesar negara dan prestasinya akan menggambarkan prestasi nasional. Berdasarkan angka, Kerajaan Selangor mempunyai kemampuan kewangan untuk pengembangan belanjawan.

Dr Ahmed Razman: Ini pengurusan fiskal yang baik oleh Kerajaan Negeri berikutan seluruh negara dan dunia pada 2021 terjejas akibat perintah kawalan pergerakan dan kelembapan ekonomi. Tentunya setiap negeri mempunyai isu dan cabaran tersendiri seperti kerajaan persekutuan. Namun yang penting kerjasama antara negeri dan persekutuan perlu dipertingkat untuk mendapat penyelarasan lebih baik dalam membantu orang memerlukan.

Kerajaan Selangor membelanjakan kira-kira suku daripada RM2.2 bilion Belanjawan Selangor 2021 untuk program kebajikan. Belanjawan negeri 2022 akan mengimbangi aspek pembangunan dan kebajikan. Pandangan?

Mohd Afzanizam: Saya fikir lebih baik menilai penerima bantuan kewangan tahun ini dan bagaimana keadaan mereka pada tahun depan. Jika ada antaranya telah pulih, maka bantuan itu wajar dihentikan. Dengan kata lain, pemantauan perlu cekap bagi memastikan semua sumber dioptimumkan.

Dr Ahmed Razman: Saya setuju perlunya ada keseimbangan antara pembangunan dan kebajikan. Ia keseimbangan yang baik dan seharusnya kita mempunyai lebih daripada satu kaedah bagi menyelesaikan semua masalah. Kerajaan harus turun padang dan memahami keperluan semua kumpulan dan membantu mengikut keperluan itu. Kebertanggungjawaban dan ketelusan aspek penting untuk memastikan segala usaha dan hasil perbelanjaan memberi keputusan yang diingini.

Kerajaan Selangor belanjakan hampir RM1.1 bilion untuk membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin dan Pakej Kita Selangor. Apa komen berhubung langkah-langkah ini?

Mohd Afzanizam: Ini jelas menunjukkan Kerajaan Selangor bertindak berdasarkan persekitarannya. Kejutan ekonomi kerana Covid-19 memerlukan reaksi proaktif campur tangan Kerajaan Negeri. Tindakan seperti ini melegakan rasa resah orang ramai yang bimbang dengan pandemik yang memberi impak kepada kehidupan.

Dr Ahmed Razman: Saya fikir langkah Kerajaan Selangor mengusahakan semua program ini menunjukkan sisinya sebagai kerajaan prihatin namun pada masa sama memastikan semua kumpulan terjejas mampu pulih dan menjadi lebih berdaya tahan untuk tahun ini dan seterusnya.

Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI


Apa nasihat atau pendapat untuk Belanjawan Selangor 2022 bagi negeri yang mempunyai populasi seramai 6.56 juta orang, teramai di Malaysia sekali gus ekonominya yang terbesar mengikut KDN?

Mohd Afzanizam: Pandangan saya ialah peranan Kerajaan Selangor mengemudi ekonomi negeri terutama ketika pandemik amat penting. Kita telah melihat hasil daripada kelulusan pelaburan besar sepanjang tahun. Pada masa sama, Kerajaan Negeri perlu berjaga-jaga dengan pengurusan fiskal. Saya melihat Kerajaan Negeri mempunyai perkara yang diperlukan untuk berkembang baik pada tahun depan dan tahun seterusnya.

Dr Ahmed Razman: Belanjawan Selangor 2022 akan menjadi belanjawan mesra rakyat dan peniaga. Saya berharap belanjawan ini mampan dan berani, yang bermakna kerajaan sanggup meneroka portfolio baharu untuk mempelbagaikan ekonominya dan menjana lebih banyak pendapatan untuk kerajaan tahun depan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan Selangor perlu fokus perlindungan sosial pasca Covid-19

SHAH ALAM, 7 SEPT: Belanjawan Selangor perlu memberi fokus kepada perlindungan sosial supaya golongan bawahan yang terjejas akibat Covid-19 dapat dibantu.

Penasihat ekonomi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Kerajaan Negeri tidak boleh berbangga dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi jika rakyat masih terbeban terutama kanak-kanak, ibu tunggal dan warga emas.

“Belanjawan Selangor perlu diukur sebaiknya dan apa hasil yang kita mahukan. Kita perlu lindungi kanak-kanak, ibu tunggal dan warga emas.

“Kita tidak boleh fokus mengukur KDNK sahaja tetapi memberi tumpuan sama ada kanak-kanak ini bersekolah atau tidak, adakah mereka dapat makanan yang sepatutnya, warga emas dan ibu tunggal.

“Apabila semua golongan ini dilindungi, isu pekerjaan, perumahan mampu milik kita akan dapat tangani,” kata Dr Muhammed Abdul Khalid pada Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Muhammed menjelaskan Kerajaan Negeri perlu membuat tinjauan khusus di kawasan diduduki golongan berpendapatan rendah bagi mendapat gambaran sebenar kumpulan sasar yang memerlukan bantuan.

Tambahnya, strategi ekonomi kini perlu menumpukan usaha membantu dan kerajaan boleh meningkatkan defisit seperti yang dilakukan Singapura agar rakyat dapat bekerja serta menyumbang kepada pertumbuhan negara.

“Kerajaan jangan kedekut. Kita harus berbelanja, tidak ada guna jika tidak mahu hutang tinggi tetapi rakyat sengsara. Untuk jangka masa panjang lebih ramai yang tidak bekerja dan tiada siapa akan bayar cukai.

“Lebih baik berbelanja lebih supaya rakyat mempunyai kerja dan boleh membayar cukai,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif Smart Selangor diteruskan

SHAH ALAM, 1 NOV: Inisiatif Smart Selangor akan diteruskan dengan peruntukkan RM50 juta dan menyasarkan kemajuan projek sebanyak 46 peratus menjelang akhir tahun 2020.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM300 juta sepanjang enam tahun bagi mencapai gagasan Negeri Pintar Utama (Premier Smart State) pada 2025 dan setakat ini sudah mencapai sasaran 26 peratus.

“Kita yakin pelabur serta sektor swasta akan turut bersama-sama Kerajaan Negeri menyokong usaha ini dengan nisbah sokongan dana adalah 1:1. Ini menjadikan unjuran nilai keseluruhan pembangunan Smart Selangor adalah RM600 juta.

“(Penubuhan) Command Centre dijangka mampu menganalisa dan melakukan cerapan daripada sistem pengumpulan data dan menghubungkan dengan beberapa agensi seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi keselamatan lain.

“Tumpuan juga diberikan kepada Pembangunan ‘Selangor Gigabit Network’ (SeGNet) dan ‘Hybrid Data Centre’ yang bakal memperkenalkan penggunaan jaringan intranet Kerajaan berkelajuan Gigabit dan juga menerajui penggunaan teknologi pengkomputeran awan untuk tujuan ‘pemulihan data ketika bencana’.

“Selain itu, pembangunan beberapa ekosistem pengupayaan ekonomi seperti ekosistem ekonomi nirtunai, platform digital IKS, pengkalan data pelancongan, platform pasaran kerja untuk kegunaan IKS dan juga rakyat terbanyak.

“Tidak ketinggalan meneruskan penganjuran Selangor International Cyber Games 2020,” katanya ketika membentangkan Belanjawan#Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan geran inovasi sebanyak RM600,000 untuk pembangunan teknologi ‘Kecerdasan Buatan’ (Artificial Intelligence) bagi menggalakan pihak swasta dalam dan luar negara memulakan kajian serta pembangunan bersama para penyelidik tempatan.

“Bagi merancakkan pembudayaan akar umbi dan penglibatan generasi muda terhadap pembinaan negeri pintar, setiap DUN digalakkan untuk meneroka solusi pintar dalam memberi khidmat kepada rakyat.

“Sejumlah RM100,000 disediakan bagi tujuan ini untuk pemenang solusi terbaik. Pentadbiran ini yakin dapat mencapai sasaran 46 peratus kemajuan projek dan program Smart Selangor menjelang akhir tahun 2020,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor sedia rencana belanjawan holistik, inklusif – MB

SHAH ALAM, 17 OKT: Jentera Kerajaan Negeri bersedia merencana Belanjawan Selangor 2020 yang holistik dan inklusif menjelang 1 November ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Belanjawan 2020 Malaysia sudah selesai, bagaimana pula agaknya Belanjawan 2020 Negeri Selangor?.

“Rakyat berhak mendapatkannya. Sebagai negeri terkaya di Malaysia, masyarakat melihat dan kita harus bersedia memberikan yang terbaik.

“Ini amanah rakyat sepatutnya dapat dan kita harus bersedia memberikan yang terbaik. Ini amanah,” tulisnya melalui akaun instagramnya, semalam.

Sementara itu Amirudin turut mengadakan sesi dialog bersama Ahli Dewan Negeri Pakatan Harapan berkenaan Belanjawan Selangor 2020, malam tadi.

“Saya berterima kasih kepada semua yang kemukakan pandangan khususnya aspek kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

“Nantikan belanjawan yang akan dibentang pada 1 November 2019,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keusahawanan sosial dari kitar semula jana pendapatan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kitar semula dan keusahawanan sosial menjadi fokus dialog bajet 2020 Smart Desa Selangor : Bersih dan Sejahtera yang diadakan menjelang pembentangan Belanjawan Negeri 2020, November depan.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, menerusi inisiatif itu penduduk Kampung Tradisi akan dapat memperoleh sumber pendapatan singkat menerusi kitar semula.

“Istilah Juru Kitar Semula melalui keusahawanan sosial merupakan satu ‘game changer’ dalam inovasi pengurusan sisa pepejal dan sampah.

“Ini sebagai usaha melestarikan alam sekitar, menjana sumber pendapatan kepada penduduk kampung dan solusi bagi mendepani permasalahan sosial setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog itu, di Hotel Concorde, di sini.

Rodziah berkata, Kerajaan Negeri komited dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan dan tahap pendapatan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

“Semua pihak perlu sedar 24 peratus sampah yang dibuang ada nilai, oleh itu masyarakat perlu sedar tentang perkara ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, program kesedaran dan kerjasama masyarakat akan diberi perhatian bagi mencapai matlamat persekitaran yang bersih serta mampan.

“Program kesedaran kepada orang ramai adalah titik tolak kepada kejayaan sesuatu pelaksanaan program kerajaan.

“Ini akan dapat membuka minda kita mengenai realiti isu sisa pepejal domestik di kawasan luar bandar supaya mencapai tahap kehidupan luar bandar yang selesa,” katanya.

Pada sesi dialog bajet itu, lebih 500 orang hadir termasuk Ketua Kampung, Penghulu, Ahli Dewan Negeri dan kakitangan awam.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

BELANJAWAN’19: Sebulan gaji bantuan khas kewangan penjawat awam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri menghadiahkan khabar gembira kepada penjawat awam dengan mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan tambahan satu bulan gaji.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkannya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019.

Amirudin berkata, bantuan khas kewangan berkenaan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap keazaman mereka untuk menunaikan tanggungjawab dan kecekapan mereka mentadbir.

“Alhamdulillah sepanjang lima bulan ini saya memikul amanah sebagai Menteri Besar, saya merasa terharu dengan sokongan serta dokongan penjawat awam.

“Justeru, sebagai suatu rangsangan supaya penjawat awam melonjakkan lagi prestasi mereka suatu pembayaran bantuan khas kewangan tambahan satu bulan gaji.

“Kecekapan dan keazaman mereka ini menjadi inspirasi kepada saya untuk berusaha lebih kuat demi rakyat dan negeri ini,” katanya.

Amirudin berkata, bantuan khas kewangan berkenaan akan dibayar pada 20 Disember depan memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM34.53 juta.

“Saya dan pimpinan negeri berikrar dalam Dewan Yang Mulia ini akan memastikan Negeri Selangor terus unggul sebagai sebuah negeri kosmopolitan yang sentiasa maju ke hadapan.

“Ia sekali gus berupaya berentap sebagai aktor ekonomi mahupun budaya di rantau Asia Tenggara dan teguh prihatin dengan nasib rakyat yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Jun lalu, seramai 17,109 penjawat awam di negeri itu menikmati bantuan khas Aidilfitri sebanyak sebulan gaji sebagai meringankan beban kewangan dalam membuat persiapan perayaan berkenaan.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Kerajaan Negeri anggar kutipan hasil RM2.2 bilion

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri menganggarkan bakal mencatat kutipan hasil kira-kira RM2.2 bilion, pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, membuat kenyataan itu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, di Dewan Annex di sini, hari ini.

“Hasil bagi 2019 dianggarkan RM2.2 bilion. Antara penyumbang utama kepada hasil negeri adalah premium tanah sebanyak 44.21 peratus, hasil cukai tanah (26.2%), urusniaga berkaitan tanah (4.33%) dan pemberian Persekutuan (9.49%),” katanya.

Beliau berkata, anggaran bagi kutipan hasil cukai tanah adalah sebanyak RM576.32 juta.

Katanya, kutipan hasil cukai tanah dianggarkan meningkat kerana pelaksanaan kutipan cukai petak ke atas hak milik strata, bermula Jun lalu.

“Anggaran kutipan hasil premium tanah adalah sebanyak RM972.64 juta dan anggaran kutipan hasil bagi pelbagai urusniaga berkaitan tanah adalah 95.18 juta.

“Manakala, anggaran terimaan daripada pemberian Persekutuan adalah RM208.81 juta,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Apa rakyat dapat jika MB bentang belanjawan di Putrajaya?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Berbekal peruntukan perbelanjaan RM3.12 bilion dalam Belanjawan Selangor 2018, Kerajaan Negeri berjaya merangka pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, di negeri itu.

Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Dr Hamdan Dato’ Salleh berkata, hal itu sekali gus memberi gambar manfaat yang diperoleh rakyat seluruh negara jika Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali diberi peluang merangka bajet Persekutuan dengan peruntukan RM200 bilion.

“Terdapat tawaran dalam belanjawan Selangor yang cukup menarik perhatian rakyat dengan belanjawan sekitar RM3 bilion. Bayangkan berapa banyak (manfaat diterima) jika belanjawan sebesar RM200 bilion seperti Persekutuan.

“Ini satu bukti oposisi mampu menawarkan alternatif kepada Kerajaan Persekutuan sedia ada, sekali gus menunjukkan ia bukan sekadar retorika,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Hamdan berkata, belanjawan dibentangkan Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar itu berjaya mencangkupi semua aspek dan lapisan masyarakat.

“Langkah Selangor menawarkan pelbagai insentif kepada rakyatnya wajar dicontohi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri lain,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pengalaman dengan Anwar bantu MB gubal belanjawan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Pengalaman panjang ketika berkhidmat di bawah bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak membantu Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menggubal Belanjawan Selangor.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, Anwar turut menyatakan perasaan gembira dan memberi sokongan terbuka terhadap belanjawan yang dibentangkan, pada 3 November lalu.

“Dalam pertemuan saya dengan Datuk Seri Anwar, di Hospital Kuala Lumpur pada Ahad lalu, saya dapat berbincang lama dengan beliau hampir dua jam 45 minit.

“Beliau amat gembira. Walaupun sebelum itu beliau di dalam penjara tetapi maklum balas diterima daripada pegawai penjara dan pegawai Kementerian Dalam Negeri, mereka amat tertarik dengan Belanjawan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Dialog Malaysia Baru Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Megawati, di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, semalam

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, pembentangan Belanjawan Selangor 2018 ternyata menenggelamkan Bajet Persekutuan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Belanjawan Selangor bukan sahaja menarik perhatian rakyat negeri itu, malahan turut mencuri tumpuan rakyat negeri lain.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Pembangunan luar bandar terus diberikan fokus

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 5 NOV: Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembangunan kawasan luar bandar supaya kemajuan Selangor dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2018, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta bagi tujuan berkenaan.

“Seperti diumumkan dalam belanjawan untuk tahun depan, kita memberi tumpuan besar kepada pembangunan desa.

“Saya tidak masuk kekayaan Selangor hanya dilimpahkan ke kawasan bandar sahaja maka peruntukan besar dibawa masuk ke kampung dan desa supaya orang di kawasan ini juga menikmati pembangunannya,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra dan Pemyampaian Sumbangan di Arena Pasir Tuntong di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamed Azmin menyampaikan sumbangan kepada 54 nelayan di kawasan itu.

Belau berkata, Kerajaan Negeri telah menggerakkan pelbagai program dan inisiatif demi manfaat warga nelayan di Selangor.

“Kita telah memberikan banyak bantuan sama ada dalam bentuk sokongan moral, kewangan dan peralatan kepada warga nelayan di Selangor.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan terhadap perkara ini demi kebaikan dan masa depan golongan ini,” katanya.

=EZY=