Categories
SELANGOR

Fakta tepat tentang Selangor? Bacalah SelangorKini – Exco

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 NOV : Masyarakat boleh mendapatkan maklumat tepat dan lengkap berhubung inisiatif berkebajikan dilaksanakan Kerajaan Negeri di akhbar rasmi, SelangorKini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan, Pertanian Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, akhbar milik Kerajaan Negeri itu memaparkan laporan tepat dan telus terhadap pentadbiran negeri.

“Kerajaan Negeri banyak melaksanakan inisiatf berkebajikan, dan masyarakat boleh ambil maklumat dan fakta (tepat) itu di SelangorKini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Infratani Peringkat Daerah Dengkil, di Tapak Pasar Awam Dengkil, semalam.

Terdahulu, wujud penularan laporan tidak tepat yang dilemparkan media milik Umno, khususnya Utusan Malaysia terhadap pentadbiran negeri yang didakwa berunsur fitnah bagi memburukkan imej Kerajaan Pakatan di Selangor.

Susulan itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengarahkan semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri menghentikan langganan akhbar di bawah Utusan Malaysia berkuatkuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan melalui pekeliling bertarikh 9 November dan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Pekeliling berkenaan turut mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri agar memberi tumpuan kepada melanggan akhbar syarikat Kerajaan Negeri seperti SelangorKini, Sinar Harian dan The Star sahaja.

=EZY=