Categories
GLOBAL

Gunung Agung di Pulau Bali meletus lagi, keluar asap setinggi 3km

DENPASAR 26 NOV: Gunung Agung, gunung berapi di Pulau Bali dilaporkan meletus lagi dan mengeluarkan asap tebal setinggi 3,000 meter dan menyebabkan berlaku hujan abu.

Menurut Pusat Vulkanologi Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), setakat 12 tengah hari ini, status letusan gunung berapi itu masih pada tahap III (Siaga) dan berkemungkinan dinaikkan ke tahap IV (Berbahaya) jika keadaan bertambah serius.

Agensi berita Antara melaporkan penduduk di sekitar gunung berkenaan telah diminta berpindah dan tidak dibenarkan berada di kawasan sekitar enam hingga 7.5 kilometer dari kawasan gunung berkenaan.

Menurut Kompas, setakat ini belum terdapat arahan penutupan Lapangan Terbang Antrabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali.

Namun, dilaporkan sebanyak 16 penerbangan membabitkan enam syarikat penerbangan iaitu Jetstar, KLM, Qantas dan Virgin Air telah membatalkan penerbangan dari dan ke Bali hari ini.

Kementerian Perhubungan juga dilaporkan telah menetapkan 10 lapangan terbang lain iaitu Jakarta, Makassar, Surabaya, Balikpapan, Solo, Ambon, Manado, Praya, Kupang dan Banyuwangi sebagai alternatif kepada semua penerbangan yang mahu membatalkan penerbangan mereka ke Bali.

Keadaan itu menyebabkan ribuan pelancong terkandas.

Sementara itu, jurucakap Lapangan Terbang Ngurah Rai, Arie Ahsanurrohim, berkata lapangan terbang itu beroperasi seperti biasa.

“Kami akan cuba memastikan keselesaan penumpang terkandas di lapangan terbang ini sebaik mungkin.

“Setakat ini, bilik khas disediakan bagi membolehkan mereka membuka beg dan menonton video untuk berehat,” katanya.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 2,000 penumpang terjejas akibat gangguan penerbangan itu kebanyakannya pelancong dari Australia. –

SUMBER: BERNAMA / AFP