Categories
NASIONAL

Hantar pelarian Rohingya pulang risiko tinggi dibunuh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru pihak berkuasa, di Bangladesh dan Myanmar mengadakan rundingan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan menghantar pulang pelarian Rohingya ke kampung halaman masing-masing.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tentera pengaman wajar diletakkan di wilayah berdarah, di Rakhine bagi memastikan keselamatan etnik Rohingya yang dihantar pulang.

“MAPIM tidak setuju mereka dihantar balik sehingga operasi tentera di wilayah itu dihentikan kerana tiada jaminan mereka tidak akan dibunuh.

“Selain itu, banyak kawasan terdapat jerangkap samar yang sudah tentu membahayakan nyawa mereka. Jika tiada tentera pengaman diletakkan di sana, bererti kepulangan mereka sama seperti menyerahkan tengkuk sendiri untuk disembelih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Pejabat MAPIM, di Carlton Holiday & Suites, di sini, semalam.

Selain MAPIM, turut sama dalam sidang media itu adalah The European Rohingya Council (ERC) dan Myanmar Ethnics Rohingya Human Rights (MERHROM).

Pada masa sama, Mohd Azmi berkata, pelarian Rohingya juga tidak mempunyai kediaman sempurna di kampung halaman masing-masing ekoran kebanyakannya sudah dibakar golongan pelampau.

Katanya, MAPIM juga akan menghantar memorandum kepada Kerajaan Bangladesh dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terus berlaku.

“Dijangka terdapat 40 NGO lain akan turut serta menghantar memorandum itu,” katanya.

Dalam pada itu, ERC turut menggesa rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada penduduk Rohingya yang berhadapan kekejaman tentera Myanmar.

Pada masa ini, dianggarkan terdapat kira-kira 600,000 pelarian Islam Rohingya yang menyeberang sempadan Bangladesh, sejak Ogos lalu bagi mengelakkan daripada dibunuh dalam operasi tentera Myanmar dan penganut Buddha.