Categories
EKONOMI NASIONAL

Pendapatan AirAsia X melonjak kepada RM1.12 bilion

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pendapatan AirAsia X Bhd meningkat kepada RM1.12 bilion berbanding RM982.4 juta, dipacu pertumbuhan 22 peratus dalam pendapatan penerbangan berjadual dan 29 peratus pendapatan sampingan.

Peningkatan itu dicatat disebalik kerugian sebelum cukai RM8.63 juta, pada suku ketiga berakhir 30 September 2017, berbanding RM12.01 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam kenyataan kepada BERNAMA, syarikat penerbangan itu berkata, pada suku di bawah kajian, jumlah penumpang naik 23 peratus tahun ke tahun, melepasi pertumbuhan kapasiti tempat duduk sekilometer (ASK) sebanyak 18 peratus tahun ke tahun, membolehkan faktor muatan berkembang kepada 79 peratus.

“Pendapatan setiap ASK susut tiga peratus tahun ke tahun kepada 12.32 sen dari 12.70 sen ekoran pertambahan kapasiti ke atas laluan sedia ada dan tambang promosi kepada laluan baharu.

“Kos bagi setiap ASK naik enam peratus tahun ke tahun, ekoran peruntukan untuk hutang ragu serta penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, tempahan untuk suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan melepasi tahun lalu, menunjukkan permintaan untuk terbang kekal kukuh.

“Ini bukti jelas pengguna lebih mengutamakan perbelanjaan ke atas penerbangan dan percutian berbanding perkara tidak penting lain.

“Kami yakin boleh mengakhiri 2017 dengan positif dan suku keempat 2017 akan menjadi suku yang baik untuk kami,” katanya.