Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Hoki Piala Razak 2017: Selangor juara tumbangkan Pahang

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 27 NOV : Pasukan Hoki Wanita Selangor muncul juara Hoki Wanita Piala Razak 2017 selepas menewaskan juara bertahan Pahang 5-2 pada aksi akhir di sini, malam tadi.

Jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabar berkata, beliau mahukan anak buahnya ulangi aksi cemerlang ketika membenam tuan rumah, Kuala Lumpur di separuh akhir kelmarin.

Ketika pertemuan itu, Selangor memperagakan kebangkitan menakjubkan apabila berjaya menewaskan Kuala Lumpur 3-2.

“Kami menyedari kekuatan Pahang. Mereka sebuah pasukan yang serba lengkap dengan status diperkuat tujuh pemain kebangsaan.

“Oleh itu, saya mengatur strategi baharu kepada Selangor untuk menentang Pahang,” katanya.

Malah, Abdul Jabbar berkata, beliau juga memberi dorongan kepada anak buahnya untuk tidak terlalu tertekan menentang pasukan juara bertahan itu.

“Kejuaraan milik Selangor hari ini sememangnya sangat istimewa memandangkan kami tidak pernah menjulang gelaran Piala Razak selepas hanya berpuas hati dikedudukan ketiga pada tahun lalu,” katanya.

Disamping itu, Fatin Shafikah Mahd Sukri, 22, yang juga penyerang hoki pasukan Selangor muncul sebagai wira skuad hoki wanita pada malam itu selepas membantu pasukannya muncul juara.

Pada malam itu, pasukan hoki wanita Selangor yang berjaya menewaskan Pahang menerima piala pusingan, medal dan wang tunai RM5,000.

=EZY=