Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

Inisiatif Kerajaan Negeri, swasta bangun pendidikan agama, bantu pelajar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 NOV: Inisiatif Kerajaan Negeri dan swasta bagi membangunkan pendidikan Islam di Selangor, membuka ruang lebih besar kepada pelajar bagi melanjutkan pelajaran.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Ahmad Yunus Hairi, berkata ia adalah usaha berterusan bagi mengatasi masalah kekurangan pusat pendidikan di Selangor.

“Dengan hanya dua Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) dan 23 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang ada, kita hanya mampu menempatkan lebih kurang 3,800 pelajar setiap tahun.

“Kalau nak letak pelajar mencapai Mumtaz di sekolah agama berkenaan juga masih mempunyai kekangan namun saya melihat insiatif Kerajaan Negeri termasuk membina MITS di setiap daerah sedikit sebanyak memberi ruang kpada pelajar yang mahu menuntut ilmu dalam pendidkan berteraskan agama,” katanya.

Ahmad Yunus berkata demikian kepada media selepas majlis pengisytiharan keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2017 di sini, hari ini.

Beliau berkata, peranan pihak swasta bagi pembangunan sekolah agama juga memberi kesan baik tetapi Kerajaan Negeri memahami kekangan dihadapi kerana pendidikan memerlukan perbelanjaan agak tinggi.

“Maka peruntukan RM12 juta disediakan untuk membina dua sekolah agama swasta tahun depan dengan pembiayaannya daripada Kerajaan Negeri.

“Saya kira ia cukup membantu kerana sekolah sebegini mempunyai masalah kewangan dengan jumlah pelajar yang ramai.

“Saya melihat kejayaaan pelajar dalam PSRA adalah hasil daripaga keberkesanan Sistem Pendidikan Holistik Bersepadu (IHES) mula diamalkan di Selangor,” katanya.

Selangor mencatat peningkatan 1.2 peratus dalam PSRA tahun ini dengan mencapai 90.8 peratus berbanding 89.6 peratus pada tahun lalu.

=EZY=