Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor catat 90.8% dalam PSRA 2017, naik 1.2%

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor mencatat pencapaian 90.8 peratus dalam keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) tahun ini dengan peningkatan 1.2 peratus.

Berbanding pencapaian 89.6 peratus tahun lalu, Selangor mencipta pencapaian itu melalui 38,230 daripada 38,921 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim, berkata pencapaian itu terus menunjukkan peningkatan membanggakan demi kemajuan pendidikan berteraskan agama Islam di Selangor.

“Saya percaya kejayaan ini tidak datang secara mudah sebaliknya hasil dari usaha gigih dan kerjasama semua pihak antaranya guru, pelajar, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan yang lain.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak demi mengekalkan kecemerlangan dalam PSRA dan ia perlu dijadikan penada aras kepada pendidikan Islam serta usaha ke arah menjana generasi Al-Quran,” katanya dalam majlis pengisytiharan keputusan PSRA di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Ahmad Yunus Hairi.

Pelajar KAFAI Baitul Hikmah, Taman Seroja, Sepang, Danial Khan Syahiran Zairi, 12, muncul pelajar terbaik lelaki dengan pencapain 99.8 peratus.
Manakala Farrahah Mohd Husen, 12, dari SRA Kampung Melayu Subang, Petaling sebagai pelajar terbaik perempuan dengan catatan sama.

Sementara itu, anugerah daerah terbaik peringkat negeri pula diraih Sepang.

=EZY=