Categories
SELANGOR

IPR: Dari 7 program, kini lebih 40

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 17 NOV: Kerajaan Negeri berjaya menambah program kebajikan rakyat dari tujuh sahaja pada 2009, kepada lebih 40 program sehingga kini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pelaksanaan tujuh program pada awal pentadbiran Kerajaan Negeri itu selaras janji menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Katanya, antara program berkenaan termasuk pemberian air percuma, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan hadiah masuk universiti dengan peruntukan sekitar RM150 juta setahun.

“Pada masa itu, pemimpin Barisan Nasional menjangkakan Kerajaan Negeri akan bankrap dan tidak akan mampu membangunkan Selangor.

“Namun, sebaliknya berlaku apabila kita menambah kepada lebih 40 program yang kini dijenamakan sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Malah, kita terus gah sebagai tiang seri ekonomi negara dengan sumbangan 1 per empat hasil Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Karnival IPR dan Sambutan Deepavali Hulu Selangor 2017, di Tapak Pasar Malam Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan lebih RM600 juta setahun bagi menyemarak program IPR.

“Inilah bukti kita tidak boleh duduk diam, sebaliknya terus berlumba melakukan kebaikan kepada rakyat selaras konsep fastabiqul khairat,” katanya.

Setakat Disember 2016, sejumlah RM1.9 bilion hasil kekayaan negeri diagihkan kepada 5.9 juta rakyat.

Selain itu, kira-kira 1.3 juta purata pengguna turut menerima 20 meter padu air percuma setiap tahun.