Categories
SELANGOR

Janji Noh diragui, hanya retorik politik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 NOV : Tan Sri Noh Omar hanya mampu mencanang pelbagai janji bersifat retorik politik yang masih diragui belum mampu dilaksanakan di seluruh negeri, kata Mohd Khairuddin Othman.

Sebaliknya Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras itu berkata, Kerajaan Negeri dilihat lebih konsisten memperkenalkan agenda berkebajikan membabitkan pembangunan isu perumahan negeri sejak 2008 hingga kini.

“Kerajaan Pusat banyak ‘meniru’ skim kebajikan yang telah lama di laksanakan oleh Kerajaan Negeri. Malah apa yang disebut oleh Menteri (Noh) masih di peringkat janji yang belum terbukti akan di laksanakan.

“Kita di Selangor telah buktikan sejak 2008, bukan sekadar ucapan kosong,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu untuk memperluas lebih banyak lagi agenda berkebajikan membabitkan isu perumahan negeri sekiranya menawan Selangor pada pilihanraya akan datang.

Khairuddin berkata, Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad lebih konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab untuk meningkatkan isu perumahan negeri pada kadar terbaik.

Katanya, ia dibuktikan menerusi pengumuman pelbagai inisiatif dan dasar berkebajikan di samping tumpuan meningkatkan kualiti perumahan kos rendah seluruh negeri.

“Kerajaan Selangor mendapatkan keyakinan rakyat kerana Exco kita bekerja bukan untuk pilihanraya.

“Justeru, saya minta KPKT selesaikan projek rumah pangsa yang terbengkalai dan jangan dilihat terlalu berpolitik dengan rakyat,” katanya.