Categories
SELANGOR

Karnival IPR: 154 terima bantuan lebih RM700,000

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 17 NOV: Seramai 154 individu menerima bantuan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bernilai RM742,300 merangkumi lima program dan skim, sempena penganjuran karnival IPR, hari ini.

Ia termasuk 68 penerima baucar Hijrah Selangor bernilai RM675,000, enam penerima Insentif Perkahwinan Belia (RM3,000), tujuh penerima Tabung Warisan Anak Selangor (RM10,500), 52 penerima (termasuk 40 Orang Kelainan Upaya) bagi Skim Peduli Sihat RM12,800 dan empat penerima Food Stamp (RM250).

Turut menerima bantuan, 10 komuniti India bagi sumbangan Deepavali dan 10 asnaf masing-masing berjumlah RM500 serta penyerahan ‘food truck’ kepada usahawan Hijrah bernilai RM40,000.

Majlis disempurnakan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara majlis penyampaian dan penyerahan diiringi Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang) dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Azman Dahlan.

Karnival siri ketiga itu turut menyaksikan lebih 2,000 membanjiri Tapak Pasar Malam Bukit Sentosa yang juga meraikan sambutan Deepavali Hulu Selangor 2017, di sini.

Ia merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri, Perangsang, Yayasan Hijrah Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor.