Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

IWB perjuang wanita elak ketinggalan

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 24 NOV: Institut Wanita Berdaya (IWB) komited memastikan agenda wanita nasional diangkat dan terus diperjuangkan supaya golongan itu tidak ketinggalan.

Penasihat dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, agenda wanita tidak hanya diangkat di peringkat Selangor sahaja tetapi ia bakal dilakukan, di seluruh negara.

“Sasaran 30 peratus pembabitan wanita dari Selangor tidak menjadi masalah memandangkan negeri ini adalah kerajaan pembangkang dan kebanyakan dari mereka agresif memperjuangkan parti.

“Saya berharap Selangor akan menjadi negeri pertama, di Malaysia untuk capai 30 peratus pembabitan wanita di setiap peringkat, bukan isu menuntut hak wanita tetapi memartabatkan wanita dalam pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Nasional Gender & Reformasi Pilihanraya “More Women Better Nation”, di Hotel Holiday Villa, hari ini.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, berdasarkan kajian Tenaga Buruh 2015, kadar penyertaan pekerja wanita di negeri ini adalah 63.4 peratus, berbanding 54 peratus, di peringkat nasional.

“Saya berharap selesai sahaja persidangan hari ini, wakil di setiap negeri dapat membentuk jawatankuasa khas bertindak di kawasan masing masing dan galakkan lebih ramai wanita turun padang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan golongan lelaki untuk tidak berasa terpinggir memandangkan hasrat IWB adalah memberdayakan wanita supaya tidak jauh ketinggalan.

“Pembabiatan lebih ramai wanita dalam bidang politik bukan berniat ingin mendahului lelaki tetapi untuk membantu meringankan beban golongan itu,” katanya.