Categories
SELANGOR

Jajaran koridor projek HSR belum dimuktamadkan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 NOV: Jajaran koridor bagi pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura membabitkan sebahagian kawasan di Selangor belum dimuktamadkan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, sehingga kini pihak MyHSR Corp Sdn Bhd (MyHSR) belum membentangkan hasil kajian tapak kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan selanjutnya.

“Kerajaan Negeri masih menunggu maklumat daripda MyHSR dan mengambil maklum jajaran koridor bagi pelaksanaan projek berkenaan belum dimuktamadkan di kawasan selain dimaklumkan.

“Merujuk isu pengambilan tanah yang dibangkitkan, ia hanya dapat dilaksanakan setelah lot terbabit dengan cadangan jajaran dikenal pasti apabila MyHSR membentangkannya kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Exco Pelaburan, Perindustrian IKS & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan dan ADN Dengkil Shahrum Mohd Sharif, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dijangka mula beroperasi pada penghujung 2026, perkhidmatan HSR akan mempunyai tujuh stesen di Malaysia iaitu Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sebelum berakhir di Jurong East, Singapura.